Bagi memperluaskan lagi rangkaian jenamanya, kini pusat 3S Nissan telah pun dibuka di Cyberjaya. Dikendalikan oleh Evo Mobility, fasiliti dengan kos pelaburan sebanyak RM1.5 juta ini telah beroperasi sejak Januari lalu, untuk memberikan perkhidmatan yang diperlukan oleh para pelanggannya yang berada di sekitar Cyberjaya, Sepang dan Putrajaya.
Edaran Tan Chong Motor (ETCM) berkata Evo Mobility mempunyai pengalaman selama lebih dua dekad dalam memperkukuhkan perniagaan yang berasaskan pengedaran bahan api di rantau selatan dan kini menceburi bidang automotif pula.
Bertempat di Jalan Autoville 2, Autoville Cyberjaya (hab bagi perniagaan baikpulih dan jualan automotif di bandar berkenaan) dengan fasiliti seluas 7,300 kaki persegi, pusat 3S ini mampu menempatkan lima kenderaan di ruang pameran, menyediakan ruang penyerahan kenderaan baharu, ruang lounge untuk pelanggan dan juga dua petak selenggara yang boleh menyelenggara sehingga 200 kenderaan sebulan.
Cawangan Nissan terbaharu ini juga mengetengahkan Nissan Retail Concept (NRC) terkini, yang mengikut jejak langkah pusat 3S jenama ini di Petaling Jaya dan tiga lokasi lain.
“NRC adalah untuk menginovasikan pengedar Nissan dan menyampaikan standard perkhidmatan bertaraf global kepada pelanggan Nissan di seluruh dunia. Fokusnya adalah mempamerkan nilai jenama Nissan merentasi keseluruhan perjalanan pelanggan di pusat pengedaran, sama ada untuk memandu uji model terbaharu atau menghantar kereta untuk diselenggara,” kata ETCM dengan menambah lebih banyak bilik pameran akan menjalani transformasi NRC.
Pusat 3S Nissan di Cyberjaya ini dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 7 malam untuk bahagian ruang pameran (03-76142215/019-2917100). Manakala pusat servis (03-76142215) pula beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang setiap Isnin-Jumaat, dan 8 pagi hingga 1 tengahari pada hari Sabtu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.