Susulan berita yang tersebar tentang Shell mungkin menjual seluruh rangkaian stesen minyaknya di Malaysia kepada Saudi Aramco tempoh hari, Shell telahpun mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjawab persoalan tersebut.
Apa yang menarik, kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat itu sangat ringkas dan padat hanya dalam dua ayat yang menyatakan “Malaysia sangat penting buat Shell. Kami masih terus komited kepada perniagaan mobiliti dalam negara.”
Berita tentang ura-ura Shell mahu menjual perniagaan peruncitannya di Malaysia kepada Saudi Aramco dilaporkan oleh Reuters awal minggu ini, dengan menyatakan perbincangan tentang urusniaga itu telah bermula pada lewat 2023 dan ia mungkin akan dimuktamadkan dalam beberapa bulan akan datang. Sumber yang rapat dengan perkara tersebut juga menyatakan perjanjian tersebut mungkin bernilai sekitar empat hingga lima bilion ringgit.
Buat masa sekarang Shell mempunyai sekitar 950 stesen minyak di Malaysia bagi membolehkan ia menjadi rangkaian perniagaan bahan api kedua terbesar dalam negara selepas Petronas. Ia juga mempunyai rangkaian pengecasan kenderaan elektrik (EV) Shell Recharge DC dan AC serta ParkEasy di sini.
Salah satu sumber memberitahu Reuters bahawa usaha syarikat itu untuk menjual rangkaian stesen minyaknya di Malaysia adalah konsisten dengan langkahnya untuk menjual kilang penapisannya di Pulau Bukom di Singapura, yang membekalkan bahan api kepada rangkaian itu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.