Perodua menambah satu lagi negara dalam senarai eksportnya apabila kini mengorak langkah ke Bangladesh. Bulan lalu, pengeluar tempatan ini menandatangani perjanjian dengan anak syarikat PHP Family, iaitu PHP Motors untuk memasang dan menjual kenderaan Perodua di negara tersebut.
Menurut The Business Standard, PHP Motors melancarkan empat model Perodua di Dhaka hari ini. Modelyang dimaksudkan adalah Axia, Myvi, Bezza dan Aruz, dan semuanya akan dipasang di kilang Saraipara Halishahar syarikat itu di Chattogram.
“Perodua mempunyai enam model. Kami sedang mengusahakan kesemuanya. Sebagai permulaan, kami akam memasang empat model ini di kilang kami dan menjualnya. Model lain (Alza dan Ativa) juga akan dipasang dan dilancarkan tidak lama lagi,” kata pengarah urusan PHP Motors Mohammed Akther Parvez.
Jika ada yang merasakan nama PHP seperti biasa didengar, ini kerana ia adalah syarikat yang pernah menguruskan Proton. Sekarang, Proton diwakili oleh Rancon di Bangladesh, yang akan memasang X90 di negara itu hujung tahun ini.
Meskipun sudah menamatkan perjanjian dengan Proton, PHP dikatakan masih akan menjaga perkara berkaitan jaminan kenderaan Proton sedia ada. “Semasa membuat perjanjian dengan Perodua, kami telah memasukkan sekali syarat ini supaya kami masih dapat menyediakan servis selepas jualan untuk kenderaan Proton yang dijual sebelum ini, dan mereka menghargai komitmen kami,” kata Akther.
Kilang PHP sekarang ini mampu memasang 1,200 unit setahun. Dengan lebih 400 pekerja, kilang ini boleh memasang 36 buah kenderaan dalam tiga syif (12 setiap syif) sehari. Syarikat itu memberitahu kilang tersebut telah beroperasi dalam kapasiti penuh sejak tahun 2019.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.