DRE Road Academy buka peluang uji jentera Ducati, belajar cara tunggangan selamat atas jalan raya

DRE Road Academy buka peluang uji jentera Ducati, belajar cara tunggangan selamat atas jalan raya

Selain mengeluarkan motosikal, Ducati juga ada menganjurkan pelbagai aktiviti untuk penunggang motosikal dengan antara yang utama adalah Ducati Riding Experience atau dikenali secara ringkas sebagai DRE. Sebelum ini kami pernah kongsikan pengalaman menyertai salah satu bahagiannya, iaitu DRE Track, dan terbaru, kami sertai pula DRE Road.

Seperti yang boleh diketahui dari namanya, DRE Road ini kurang sedikit tegangnya berbanding DRE Track kerana ia lebih memberi fokus kepada tunggangan atas jalan biasa yang boleh jadi bagi sesetengah orang, dilakukan setiap hari.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna ia kurang penting. Banyak perkara boleh terjadi atas jalan biasa dan kita sentiasa perlu tahu apa yang perlu dibuat terutamanya apabila berhadapan dengan pelbagai cabaran dan perkara yang tidak dijangka.

Walaupun DRE Road ini dianjurkan oleh Ducati, sebenarnya ia boleh disertai oleh siapa sahaja dengan bayaran hanya RM500 dan melibatkan pelbagai aktiviti sepanjang satu hari ia dianjurkan. Sebagai permulaan selepas makan pagi, peserta akan duduk dalam kelas teori terlebih dahulu.

Pada masa itu, anda akan belajar perkara-perkara penting seperti kedudukan menunggang, kawalan motosikal, cara pengendalian serta membuka pandangan semasa menunggang. Walaupun kedengaran seperti mudah, informasi yang diberi mungkin juga dapat membuka mata penunggang berpengalaman.

Selepas lebih satu jam setengah diberikan pendedahan, peserta akan dibawa ke litar khas untuk mengamalkan apa yang dipelajari. Kawasan lapang yang digunakan akan disusun dengan tujuh laluan latihan yang melibatkan pelbagai fokus seperti membrek kuat termasuk atas pasir, membuat pusingan dan pelbagai lagi.

DRE Road Academy buka peluang uji jentera Ducati, belajar cara tunggangan selamat atas jalan raya

Menjadi satu tarikan dalam DRE Road Academy ini adalah ia dilakukan dalam kumpulan yang kecil, dan peserta dapat menerima perhatian sepenuhnya oleh pengajar Ducati yang diiktiraf. Sekiranya rasa seperti mempunyai masalah untuk melakukan sebarang latihan, anda boleh terus mendapatkan maklum balas daripada mereka.

Selain dianjurkan untuk menambah kemahiran penunggang, DRE Road Academy ini juga memberi peluang kepada anda untuk menguji pelbagai model semasa Ducati kecuali Panigale. Semasa sesi kami, tersedia bukan sahaja Scrambler, tetapi juga Monster, Hypermotard, Streetfighter dan DesertX. Dan satu lagi yang penting, apabila tamat sesi, anda akan menerima sijil rasmi daripada Ducati Malaysia.

Tahun ini Ducati Malaysia mempunyai perancangan untuk mengadakan beberapa lagi siri DRE Road Academy dan anda juga berpeluang untuk menyertainya. Sekiranya berminat boleh ikuti mereka di laman sosial atau hubungi wakil pengedar Ducati berhampiran. Dalam masa yang terdekat ini, ia akan dianjurkan lagi pada bulan Jun 2024.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required