Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Bernama, menteri pengangkutan, Anthony Loke dikatakan memberitahu bahawa kementerian pengangkutan tidak pernah memberikan kelulusan kepada mana-mana penyedia servis ride-hailing untuk menggunakan sistem bidaan harga bagi tambang penumpang.
Beliau berkata, kementerian tidak dimaklumkan berkenaan perkara itu, tetapi telah mengarahkan agensi pengangkutan awam darat (APAD) untuk menyiasat penggunaan sistem tersebut di kalangan pemandu ride-hailing. “Agensi akan melihat perkara ini, dan setakat yang saya tahu, kita tidak pernah meluluskan sebarang sistem seperti itu,” kata Loke.
Isu ini timbul apabila sistem bidaan ini semakin popular di dalam aplikasi ride-hailing. Melaluinya, pemandu ride-hailing boleh meletakkan sendiri harga untuk sesuatu perjalanan dan kemudiannya pengguna boleh membuat bidaan sekiranya bersetuju dengan harga tersebut.
Walaubagaimanapun, sistem tersebut mula menimbulkan kebimbangan di kalangan pengguna pengangkutan awam kerana akan menyebabkan penumpang membayar harga yang lebih mahal. Ia juga menyebabkan wakil pemandu ride-hailing mula mengarahkan kerajaan untuk mengawal harga tambang perjalanan, dengan mengatakan sistem bidaan ini bukan satu penyelesaian untuk melindungi kepentingan pemandu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.