Pada September lalu, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan penubuhan pasukan untuk meneliti dakwaan yang dibuat dalam JPJ Pandora Papers, di mana terdapat kes salah laku di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang berkaitan pendaftaran plat kenderaan klasik.
Dalam dokumen setebal 28 muka surat itu, yang dikeluarkan ke domain awam melalui kumpulan aplikasi Telegram, senarai nombor plat mengikut tahun sejak 2007 dan mengikut negeri telah dikeluarkan dan didakwa telah dihidupkan semula serta didaftarkan pemilikannya. Dokumen itu mendakwa plat pendaftaran berkenaan dijual pada harga mampu milik, sama ada kepada individu atau syarikat, dan aktiviti itu dikatakan didalangi oleh pegawai JPJ.
Terkini, menteri MOT, Anthony Loke, berkata, laporan siasatan oleh pasukan khas yang menyiasat dakwaan terkandung dalam JPJ Pandora Papers itu akan diserahkan kepada Ketua Setiausaha (KSU) MOT untuk dinilai dan diambil tindakan seterusnya.
Jelasnya setakat ini memang diakui wujud beberapa kelemahan yang dikenal pasti dalam proses pendaftaran nombor klasik memandangkan nombor plat tersebut diperoleh mengikut kaedah sedia ada, namun ia perlu diperketatkan dan dikawal, laporan Bernama.
“Ini kerana nombor-nombor klasik itu dahulunya didaftarkan tanpa satu proses sistem yang telus dan terperinci kerana pada zaman 50-an dan 60-an ia didaftar secara manual, tidak ada dalam sistem komputer atau aplikasi seperti MySikap.
“Kerana itu kadang-kadang apabila nombor itu didaftarkan, mereka ingat tidak dimiliki sesiapa (nombor pendaftaran terbabit) tetapi suatu masa kemudian, pemilik sebenar datang dan tuntut kembali nombor tersebut. Jadi ia menimbulkan keraguan ke atas sistem kita dan bagi memastikan tiada pertindihan pemilikan pada masa akan datang, kita akan ketatkan dan kawal pendaftarannya,” tambah beliau.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.