Kembara 5,000 km Tim Walkowiak dari Singapura ke Kemboja dengan Mercedes-Benz W126 500 SEL

Kembara 5,000 km Tim Walkowiak dari Singapura ke Kemboja dengan Mercedes-Benz W126 500 SEL

Dalam era peralihan dari enjin pembakaran dalaman ke kenderaan elektrik (EV) sekarang, kita boleh tengok bahawa teknologi terbaharu tersebut dapat menghasilkan kereta dengan bekalan kuasa yang cukup besar dengan mudah. Baru-baru ini misalnya, ada yang membandingkan sebuah Ferrari 12Cilindri dengan Tesla Model 3 Performance di mana kedua-dua model ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam rekod masa yang sama iaitu 2.9 saat, tetapi dengan jurang harga yang sangat berbeza.

Namun keseronokkan memandu bukan hanya terletak pada kepantasan memecut semata-mata, ia lebih dari itu. Bunyi, getaran, tindak balas kereta terhadap pemandu semuanya merangsang saraf-saraf memandu, memberikan perasaan yang sukar untuk diungkap. Dan ini antara sebab mengapa ada individu yang lebih gemar memandu kereta-kereta klasik yang tiada langsung bantuan komputer.

Bagi seorang warga Jerman, Tim Walkowiak, minat terhadap kereta klasik dan juga mempunyai hobi mengembara telah mencetuskan satu perjalanan epik merentas empat negara Asia Tenggara (pergi dan pulang) dalam masa 10-hari yang telah dibuat baru-baru ini dengan sebuah kereta yang sudahpun berumur lebih 40-tahun!

Secara spesifiknya, pengembaraan ini bermula dari Singapura pada 5 April lalu, menuju ke Kemboja melalui jalan darat Malaysia dan Thailand, kemudian pulang semula melalui jalan yang sama dengan berakhir di Singapura pada 14 April dengan jarak keseluruhan lebih dari 5,000 km.

Tim, 36-tahun merupakan kakitangan Porsche kini bertugas di pejabat rantau Asia Pasifik jenama berkenaan yang terletak di Singapura sejak 11-tahun lalu. Sebelum ini, Tim pernah melakukan pengembaraan dengan kereta sewa di pelbagai negara di seluruh dunia seperti Eropah, New Zealand dan Afrika.

Namun selepas membeli sebuah Mercedes-Benz W126, dia terfikir untuk mengembara dengan kereta mewah dari zaman silam berkenaan. Berbeza dengan W126 yang lazimnya kita temui di Malaysia yang menerima lencana 300SE dengan enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris, ‘S-Class purba’ milik Tim ini pula adalah varian yang jauh lebih mewah dengan emblem 500SEL dengan enjin 5.0 liter V8! Malah dengan huruf ‘L’ pada hujung nama varian ini menunjukkan ia adalah versi jarak roda panjang yang memberikan ruang kabin belakang lebih luas.

Kereta istimewa ini juga sebenarnya mempunyai sejarah yang cukup istimewa. Menurut Tim, Merc W126 500SEL ini pada asalnya didaftarkan di Hong Kong, dimiliki oleh seorang ahli perniagaan di sana. Ia telah digunakan oleh pemilik asalnya selama lebih 30 tahun dengan plat pendaftaran mengandungi nombor ‘8888’ di negara berkenaan, seperti yang kita ketahui ia adalah nombor yang sangat bertuah buat masyarakat Cina.

Selepas itu, kereta tersebut telah diterbangkan ke Perth, Australia dan dipandu di sana selama lima tahun. Dan pada 2017, seorang peminat kereta klasik dari Singapura telah membawanya ke negara tersebut, sebelum Tim membeli kereta ini pada 2023.

Tim juga memberitahu bahawa kereta ini masih lagi dalam keadaan asal dengan cat badan berwarna Petrol Blue serta enjin, kotak gear dan kemasan-kemasan dalaman yang masih asli ketika ia dibawa masuk ke Singapura sehinggalah ia berada ditangannya sekarang.

Ia juga datang dengan perincian-perincian tertinggi serta mendahului zaman seperti sistem penghawa dingin dua-zon, tempat duduk hadapan dan belakang larasan elektrik, cermin tingkap berkuasa elektrik dan pelbagai lagi. Perlu diingatkan sekali lagi, ini bukanlah kereta dari era 90’an, tetapi ia keluar dari kilang produksi pada tahun 1983!

Bukan hanya kelengkapannya yang begitu mewah sahaja, malah enjin V8 berkapasiti besar yang menambah aspek keselesaan kereta ini disamping ia tahan lasak turut menambah lagi rasa panasaran Tim untuk mencuba memandu kereta ini dalam pengembaraan yang jauh.

Sebelum mengambil keputusan untuk melakukakan perjalanan ini, Tim sebenarnya sudah beberapa kali memandu Mercedes-Benz 500 SEL tersebut ke beberapa bahagian dalam Malaysia. Namun oleh kerana perjalanan berkenaan terlalu mudah dan tidak mencabar, Tim tidak menunggu lama untuk membuat perancangan bagi mengembara lebih jauh merentasi empat negara selepas itu.

Kembara 5,000 km Tim Walkowiak dari Singapura ke Kemboja dengan Mercedes-Benz W126 500 SEL

Tim menyatakan bahawa pemgembaraan ini juga dibuat untuk melawat kenalan-kenalannya di negara-negara berkenaan, bagi membolehkan mereka memperkenalkannya lebih mendalam tentang apa yang ada di bandar-bandar tersebut termasuk tempat-tempat bersejarah dan makanan-makanan tempatan yang popular. Ini membolehkannya lebih mengenali kawasan-kawasan tersebut lebih sekadar hanya tahu tempat-tempat lazim yang dikunjungi pelancong biasa.

Dua hari pertama pengembaraan ini melibatkan perjalanan 740 km adalah untuk merentas Malaysia di mana Tim singgah Litar Antarabangsa Sepang untuk bergambar, dan kemudian sempat Petaling Jaya untuk membersihkan serta menyerlahkan kembali rupa Mercedes-Benz W126 tersebut di Kuzig Glanz, dan melawat Porsche Center Ara Damansara pada hari pertama.

Tim singgah di Pulau Pinang pada hari kedua, dan kemudian meneruskan perjalanan merentas sempadan Thailand-Malaysia serta tiba di Surat Thani, di mana dalam satu hari berkenaan kereta ini dipandu sejauh 550 km. Sebelum memulakan perjalanan hari keempat, Tim sempat bergambar di Pantai Surat Thani, dan kemudian meneruskan perjalanan sejauh 670 km untuk sampai ke Bangkok pada hari yang sama.

Di Ibu Negara Thailand tersebut, Tim sempat singgah di Porsche Center Bangkok dan beberapa tempat bersejarah termasuk Muzium Nasional dan Istana Besar Kerajaan Bangkok dan lain-lain, sebelum bergerak menuju ke sempadan Kemboja dengan perjalanan sejauh 290 km.

Perjalanan untuk masuk ke Kemboja hanya dibuat pada hari ke-lima pengembaraan ini iaitu pada 9 April, namun Tim berhadapan dengan masalah dengan dokumentasi bagi merentas sempadan. Menurut Tim, ‘drama’ selama tiga jam berkenaan memaksanya meninggalkan kereta di sempadan untuk berjalan kaki ke merentas jambatan bagi mengambil beberapa dokumen asli yang telah diserahkan kepada kastam Thailand.

Selepas beberapa perbincangan dan menunggu, Tim hampir putus asa dan berniat untuk berpatah balik ke Thailand, namun secara tiba-tiba permit untuk masuk ke Kemboja diluluskan membolehkan Mercedes-Benz tersebut merentasi sempadan.

Di Kemboja, Tim mensasarkan perjalanan sehingga ke Siam Riep, dan perjalanan sejauh 250 km tersebut hanya dimulakan pada keesokan hari iaitu pada 10 April. Sampai di wilayah tersebut, Tim mengambil kesempatan untuk melawat Angkor Wat, iaitu kuil agama Buddha yang telah dibina pada pertengahan abad ke-12.

Perjalanan pulang semula ke Singapura bermula pada 11 April, dan Tim sempat tiba di Selatan Thai ketika masyarakat Thai meraikan pesta Songkran. Walaupun tidak turun bersama bermain air bersama orang ramai, kemeriahan Songkran tetap dirasai apabila penduduk tempatan pada setiap kampung yang dilalui menyimbah air pada Benz klasik tersebut.

Tim melintasi sempadan Thailand-Malaysia pada 13 April, namun kali ini dia tidak singgah ke Pulau Pinang, sebaliknya berhenti di Ipoh. Pengembaraan ini tamat keesokan harinya apabila Tim dan Mercedes-Benz W126 500 SEL miliknya itu tiba di Singapura pada 14 April 2024.

Tim menyatakan bahawa dia kereta tersebut langsung tidak mengalami sebarang kerosakan mekanikal sepanjang 10-hari pengembaraan walaupun cuaca di Thailand dan Kemboja mencecah 42 darjah selsius, dan dia hanya perlu menambah cecair penyejuk pada tangki radiator apabila perlu.

Selepas berakhirnya pengembaraan ini, Tim memberitahu bahawa dia dipelawa untuk menyertai pelbagai lagi pengembaraan bersama komuniti kereta klasik di rantau ini menerusi media-media sosial, malah ada juga pihak yang memintanya untuk menganjurkan bersama perjalanan lain.

Malah Tim juga berhajat untuk memandu kereta ini balik ke kampung halamannya di Stuttgart Sindelfingen, Jerman melalui jalan darat selepas khidmatnya di Singapura berakhir!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required