smart #3 2024 – Tanggapan awal pandu uji SUV EV ala coupe menjelang pengenalan rasmi pada 21 Mei ini

smart #3 2024 – Tanggapan awal pandu uji SUV EV ala coupe menjelang pengenalan rasmi pada 21 Mei ini

smart #3 (disebut sebagai ‘Hashtag Three’) merupakan model kedua selepas smart #1 dari jenama smart Automobile hasil kerjasama antara Geely dan Mercedes-Benz. SUV elektrik (EV) dengan gaya ala coupe ini bakal diperkenalkan di pasaran Malaysia pada 21 Mei ini, sebelum ia dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi. Untuk pasaran Malaysia, sama seperti #1, #3 juga akan diberikan tiga varian iaitu model asas Pro, varian pertengahan Premium dan model spesifikasi tertinggi Brabus.

Secara fizikalnya, #3 mempunyai dimensi berukuran 4,440 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,600 mm tinggi dan jarak rodanya 2,785 mm, di mana #1 lebih pendek tetapi lebih tinggi dan lebih lebar, iaitu pada 4,270 mm panjang, 1,822 mm lebar dan 1,636 mm tinggi, dengan jarak roda 2,750 mm. Model #3 juga berkongsi binaan Sustainable Experience Architecture (SEA) yang sama dengan #1.

Minggu lalu, kumpulan media permotoran tempatan telah diberi peluang untuk memandu uji varian Premium dan Brabus di litar ujian Pusat Kecemerlangan Proton (COE) Shah Alam. Kami diberikan peluang untuk memandu ujinya dengan dua pusingan di litar serta melakukan beberapa ujian pemanduan termasuk menguji Launch Control (bagi varian Brabus), sistem membelok dan sistem brek #3 ini.

smart #3 2024 – Tanggapan awal pandu uji SUV EV ala coupe menjelang pengenalan rasmi pada 21 Mei ini

Disebabkan jarak dan masa yang singkat, jadi tanggapan awal untuk pandu uji #3 ini sekadar ringkas sahaja. Nama pun tanggapan awal kan. Untuk pengetahuan anda, penjana kuasa yang diberikan buat #3 adalah sama dengan #1. Di mana varian Pro dan Premium merupakan versi pacuan roda-belakang (RWD) dengan motor elektrik tunggal 272 PS (268 hp atau 200 kW), manakala varian paling berkuasa dengan lencana Brabus dibekalkan dengan dua motor elektrik membolehkan ia memacu semua roda, bersama bekalan kuasa penuh berjumlah 428 PS (422 hp atau 315 kW) dan tork 543 Nm.

Ketika mengendalikan varian Premium, terasa kuasa yang dibekalkan memang mencukupi untuk mencapai kelajuan yang diingini. Malah ia boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.8 saat, memang tidak sukar untuk mencapai kelajuan maksimum yang mampu mencecah 180 km/j. Melenjannya di litar ujian Proton tanpa sebarang halangan membuatkan kaki sentiasa memijak pedal secara maksimum. Tetapi jika inginkan kelajuan yang sederhana mahu pun perlahan, ia juga masih terasa bertenaga biarpun dalam pemanduan secara santai.

Dan pastinya ledakan adrenalin lebih membara apabila mengendalikan varian Brabus. Untuk menukarkan mod pacuan dua-roda (2WD) ke pacuan semua-roda (4WD) hanya mengambil masa sekitar 0.4 saat. Dengan hamburan kuasa setinggi 428 PS, ia mudah untuk dipecut dari 0-100 km/j yang hanya mengambil masa sekitar 3.7 saat untuk dicapai. Bayangkan, ketika mula memandu secara perlahan dan terus memecut laju, memang kerahan tenaganya pantas. Bagaikan motor elektriknya memberikan kuasa tork ekstra apabila diperlukan.

smart #3 2024 – Tanggapan awal pandu uji SUV EV ala coupe menjelang pengenalan rasmi pada 21 Mei ini

Berbanding dua varian di bawahnya, #3 Brabus menerima talaan enjin dan suspensi yang sedikit berbeza, pastinya lebih mantap dan padu. Namun sayangnya, semasa sesi pandu uji ringkas ini, kami tidak dapat mencuba Launch Control untuk merasai ledakan kuasa yang lebih luar biasa kerana paparan sistem menunjukkan enjin sedang ‘heat’.

Sebagai sebuah EV, memang mudah untuk mengendalikan #3 ini. Tetapi jika menggunakan mod pemanduan Sport, terasa pula pedal pendikitnya sedikit sensitif, terutamanya mengendalikan varian Brabus yang memiliki ledakan kuasa yang lebih padu berbanding Premium. Tak perlu hendak memijak pedal pendikit secara maksimum, sekadar sederhana saja pun sudah membuatkan enjinnya menghamburkan kuasa yang ‘bisa mengecutkan perut’.

Sebagai sebuah EV, smart #3 ini dilengkapi dengan sistem brek regeneratif dengan tiga mod iaitu Low, Medium dan High. Pastinya mod High memberikan kuasa brek yang lebih efisien, namun ia mengikut keperluan dan kesesuaian situasi sewaktu membrek. Sistem brek ini juga diselaraskan untuk memberikan mod ‘one-pedal’ yang akan membuatkan kenderaan berhenti serta merta tanpa pemandu perlu menekan brek.

smart #3 2024 – Tanggapan awal pandu uji SUV EV ala coupe menjelang pengenalan rasmi pada 21 Mei ini

Tapi penulis agak kurang selesa dengan sistem brek #3 ini, bila memandu dalam keadaan laju dan ingin memperlahankan kenderaan, kena tekan lebih sedikit brek barulah kenderaan dapat diperlahankan semahunya, sebab kalau tekan brek sedikit, macam agak lambat ia memperlahankan kenderaan walau tika itu pedal pendikit sudah dilepaskan. Tetapi kalau extra tekan, macam mengejut pulak ia membrek.

Tidak banyak pengalaman pandu uji yang dapat dikongsikan memandangkan kekangan waktu dan juga jarak pemanduan yang pendek. Mungkin ulasan pandu uji #3 boleh diceritakan lebih terperinci sekiranya diberi kesempatan sekali lagi oleh Pro-Net yang membawa masuk model smart ke pasaran tempatan untuk melenjan lagi SUV EV ala coupe ini dengan pemanduan jarak lebih jauh dan lebih lama.

Dan untuk mengetahui pula tentang ciri kelengkapan yang diberikan untuk ketiga-tiga varian, kena nantikan pendedahan penuhnya pada 21 Mei ini. Mana tahu, Pro-Net juga mungkin mendedahkan anggaran harganya memandangkan pendaftaran minat (ROI) untuk #3 telah pun dibuka dan bakal disusuli dengan tempahan, sebelum ia dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required