Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bakal ditutup sementara pada 19 Mei (Ahad ini) bagi memberikan laluan kepada acara berbasikal RHB WCE Century Ride 2024 yang akan berlangsung pada hari tersebut. Penutupan sementara laluan terbabit adalah dari Persimpangan Lekir hingga Persimpangan Taiping Selatan, di kedua-dua arah, dari jam 2 pagi hingga 5 petang.
“Lencongan jalan akan dilaksanakan bermula di antara WCE/Jalan Persekutuan FT5 di Batu 14 Lekir serta di antara WCE/Jalan Persekutuan FT50/PLUS Changkat Jering. Pengguna disaran untuk menggunakan laluan alternatif dan rancang perjalanan dengan awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” kata pengendali WCE.
RHB WCE Century Ride 2024 merupakan acara basikal dengan laluan terpanjang di lebuhraya di Malaysia yang melibatkan jarak kayuhan sejauh 160 km. Ia dijangka menerima 3,000 penyertaan, dengan tiga kategori yang dibuka iaitu 28 km, 90 km dan 160 km. Sesi flag-off dijangka berlangsung pada jam 6.45 pagi di Plaza Tol Lekir.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.