Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden telah mengumumkan tarif cukai baharu terhadap barangan dari China yang masuk ke negara berkenaan, di mana tarif tersebut dilihat lebih tinggi, lapor The Guardian. Langkah itu difokuskan terhadap kereta elektrik (EV), dan ia nampaknya dibuat bagi melindungi pengeluar-pengeluar tempatan di AS dari model-model import yang lebih murah dan dikhuatiri akan meningkatkan tekanan perdagangan antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia itu.
“Pekerja Amerika boleh keluar bekerja dan mengatasi sesiapa sahaja asalkan persaingan itu adil, tetapi sudah terlalu lama ia tidak adil,” kata Biden semasa ucapan di White House Rose Garden. “Kami tidak akan membiarkan China membanjiri pasaran kami,” tambahnya, seperti yang dilaporkan oleh Reuters.
Dalam ucapannya, Biden mengumumkan bahawa duti EV akan dinaikkan empat kali ganda daripada 25% kepada 100%, dan ini sudah tentu melegakan CEO Tesla Elon Musk. Sementara itu, levi akan meningkat dari 7.5% kepada 25% untuk bateri litium, 0% hingga 25% untuk mineral kritikal, 25% kepada 50% untuk sel solar dan 25% kepada 50% untuk semikonduktor. Tarif ke atas keluli dan aluminium, yang berkisar antara 0% hingga 7.5%, juga akan dinaikkan kepada 25%.
Buat masa sekarang tiada lagi jenama China yang menjual kereta pada pasaran AS, namun ada jenama seperti Buick, Lincoln, Lotus, Polestar dan Volvo membawa kereta-kereta mereka yang di pasang di China ke negara tersebut, menurut Autoblog yang memetik laporan Sam Fiorani dari AutoForecast Solution di Yahoo Finance.
Walau bagaimanapun antara semua jenama tersebut, hanya Lotus dan Polestar di mana kedua-duanya milik Geely yang mengimport model-model EV dari China untuk dijual di AS. Lotus buat masa sekarang membawa unit-unit EV dari China ke AS dalam jumlah yang cukup terhad, manakala Polestar pula dalam rancangan untuk memasang model Polestar 3 di Carolina Selatan tahun ini, dijangka bakal mengelak cukai yang tinggi tersebut berbanding sekiranya ia diimport sepenuhnya dari China.
Fiorani juga menegaskan bahawa jenama automotif China yang mempunyai fasiliti produksi di luar China, seperti di Mexico atau Korea Selatan, boleh mengelakkan kenaikan tarif baharu tersebut. “Kongres sedang mencari cara untuk mengawal pengimportan kenderaan oleh jenama China, tetapi ia akan menjadi sukar sekiranya ia tidak dibuat di China,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.