Kemalangan di Malaysia — 600k kes direkod, 6,443 terkorban pada 2023; 65% penunggang motosikal

Kemalangan di Malaysia — 600k kes direkod, 6,443 terkorban pada 2023; 65% penunggang motosikal

Sepanjang tahun 2023, sekitar 600,000 kemalangan jalan raya telah direkodkan. Daripada jumlah itu, sebanyak 6,443 nyawa telah terkorban — ini diterjemahkan kepada purata 18 orang yang meninggal setiap hari akibat kemalangan jalan raya di Malaysia. 65% daripada jumlah kematian itu pula disumbangkan oleh penunggang dan pembonceng motosikal, yang mana melibatkan mereka yang dalam golongan usia 16 tahun hingga 35 tahun.

Perkara ini dikongsikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam satu sesi taklimat libat urus bersama media di ibu negara hari ini. Semua angka berkenaan sangat membimbangkan, kerana dalam setiap kes seperti itu, negara akan kerugian besar kerana kehilangan banyak sumber bernilai tinggi yang tiada gantinya.

Sekian tahun — walaupun dengan adanya penubuhan Jawatankuasa Kabinet berkaitan keselamatan jalan raya sejak puluhan tahun lalu — isu kematian dan kemalangan maut melibatkan kenderaan masih menghantui negara ini tanpa ada satu pun pendekatan yang berkesan dan cemerlang dapat diambil.

Kemalangan di Malaysia — 600k kes direkod, 6,443 terkorban pada 2023; 65% penunggang motosikal

Seperti yang selalu kita dengar, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan hal ini, dan semuanya saling berkait: sikap pengguna jalan raya, jumlah kenderaan yang makin meningkat saban tahun, kelemahan penguatkuasaan, kesungguhan politik serta ketidakcekapan rangkaian pengangkutan awam adalah punca utamanya.

Anehnya, walaupun punca sudah diketahui, masih belum ada cara yang tuntas dan tegas untuk mengatasi masalah ini. Apa yang sedaya upaya dilakukan hanyalah untuk “meningkatkan kesedaran awam”, walau entah apa erti frasa itu sebenarnya, kerana tetap akan berulang lagi kejadian seumpama itu, dan kita seperti berada dalam kitaran yang tak berpenghujung.

Tentang kerugian negara, jumlahnya jika diterjemahkan dalam wang ringgit adalah bernilai RM3.1 juta kos bagi setiap seorang yang terkorban. Ini mengambil kira jika individu itu seorang pekerja yang cekap di tempat kerjanya, merupakan seorang tulang belakang untuk keluarga dan juga kos lain dari segi nilai yang disumbangkan olehnya dalam kehidupan orang sekiling dan juga dalam masyarakat. Dalam tempoh setahun, anggaran kerugian untuk negara yang disebabkan kematian atau kecederaan akibat kemalangan ialah RM9.28 bilion.

Kemalangan di Malaysia — 600k kes direkod, 6,443 terkorban pada 2023; 65% penunggang motosikal

Jumlah kenderaan yang semakin bertambah di atas jalan juga menjadi pembolehubah kepada jumlah kes yang meningkat. Data menunjukkan, pada 2019, lebih daripada 31 juta kenderaan baru didaftarkan, termasuklah motosikal. Lima tahun kemudian pada 2023, jumlah berkenaan melonjak kepada lebih 36 juta kenderaan. Untuk mengurangkan kebarangkalian kemalangan jalan raya berlaku, satu daripada caranya adalah untuk mengurangkan kenderaan yang berada di atas jalan.

Dari pihak kerajaan, setiap langkah yang difikirkan perlu telah dan sedang dijalankan. Misalnya mempertingkatkan kecekapan pengangkutan awam dan rangkaiannya yang menyeluruh (misalnya melalui bajet RM200 juta subsidi untuk pas perjalanan bulanan tren/bas yang kini sudah mencapai 200,000 pengguna), begitu juga dengan pemberian subsidi bersasar yang akan dijalankan nanti diharap akan mula mengalih lebih ramai pengguna untuk memanfaatkan pengangkutan awam (yang bagi perjalanan penuh atau pun sebahagian daripadanya) dalam urusan seharian mereka.

Begitu juga dengan tindakan tegas terhadap operator lori yang melanggar peraturan had muatan yang telah ditetapkan, yang antara lain menjadi antara penyumbang kepada jalan berlubang. Ini menurut Loke bukanlah satu tindakan popular oleh kerajaan, tetapi sudah dilakukan yang menyaksikan pihak berwajib bukan sahaja mengeluarkan saman, tetapi juga turut menyita lori-lori berkenaan. Ada lori yang membawa lebihan muatan sehingga 150% daripada sepatutnya: dengan menyita lori pesalah-pesalah ini daripada berada di jalan raya secara tidak langsung menyumbang kepada aspek keselamatan pengguna yang lain.

Kemalangan di Malaysia — 600k kes direkod, 6,443 terkorban pada 2023; 65% penunggang motosikal

Selain itu, sejak Mac lalu juga, pihak polis melalui laman Facebook rasmi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM akan berkongsi data harian berkaitan jumlah kemalangan dan kematian jalan raya, yang dimaksudkan sebagai peringatan untuk semua agak mengambil iktibar. Logik ini menurut Loke dipinjam daripada pengalaman Malaysia ketika berdepan dengan pandemik Covid-19 tiga tahun dahulu, yang dengan kerjasama dan liputan menyuluruh media telah berjaya meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat dan membantu pengurusan wabak dengan lebih cekap.

Namun, kita tahu, jika hanya usaha satu pihak sahaja yang diharapkan, maka ia akan menjadi sia-sia. Kita semua, tidak kira lapisan atau kelompok dalam masyarakat, perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan perkara ini dapat diubah, dan kita berjaya menghapuskan kematian akibat kemalangan jalan raya. Tak ada jalan pintas.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required