Sebuah peraduan baru saja diumumkan oleh Proton New Energy Technology (Pro-Net), bertujuan untuk mencari nama bagi model EV pertama keluaran Proton kelak. Ini merupakan petunjuk paling jelas bahawa syarikat pengeluar kenderaan nasional itu bakal memperkenalkan EV yang dijangka diperkenalkan tahun depan.
Lebih khusus, peraduan berkenaan ingin mencari nama bagi jenama untuk kereta tersebut, yang berkemungkinan akan diletak di bawah sebuah sub-jenama baru, sama seperti barisan kenderaan elektrik Galaxy untuk jenama Geely. Memandangkan Pro-Net dan bukannya Proton sendiri yang mengumumkan peraduan ini, ia mungkin mencadangkan yang EV itu nanti akan dijual melalui rangakaian pengedar anak syarikat Proton itu, yang sudahpun mengendalikan pengedaran EV seperti jenama smart ketika ini.
Turut ditunjuk dalam iklan berkenaan ialah lukisan kasar yang nampak seperti Geely Galaxy E5 — yang baru saja diperkenalkan bulan ini. Petanda yang agak jelas tentang ini boleh dilihat pada landasan bumbung dan lampu utama tirus yang ada. E5 juga merupakan calon paling layak untuk projek ini, memandangkan ia memang dibangunkan untk pasaran pemanduan sebelah kanan.
E5 dibangun menggunakan Global Intelligent New Energy Architecture (GEA) baru, yang merupakan sebahagiand daripada Sustainable Experience Architecture (SEA), yang menyokong tidak hanya kenderaan elektrik tetapi juga kenderaan dengan teknologi range extender, plug-in hybrid dan metanol. Ia juga didakwa menjadi casis “AI digital chassis” yang pertama di dunia, yang menyepadukan teknologi janaan kuasa, casis dan bantuan pemandu.
Lebih besar daripada X70, E5 yang berada dalam segmen C SUV mempunyai ukuran 4,615 mm panjang, 1,901 mm lebar, 1,670 mm tinggi dan jarak roda 2,750 mm. Perincian teknikal masih belum didedahkan, namun ada laporan yang menyebut kereta berkenaan akan dipacu oleh motor elektrik tunggal yang menghasilkan 218 PS (160 kW), dengan laju maksimum 175 km/j. Ia digandingkan dengan bateri lithium iron phosphate (LFP).
Bagi mereka yang berminat untuk ikut serta dalam peraduan ini, isi borang pendaftaran ini dan cadangkan nama yang sesuai serta padankan gambar yang ada. Anda akan layak memenangi hadiah utama bernilai RM5,000 tunai, serta hadiah kedua bernilai RM1,500, hadiah ketiga RM1,000 serta RM100 bagi lima nama dalam senarai tertinggi berikutnya. Peraduan ini tamat pada 5 Jun 2024.
Geely Galaxy E5
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
PROTON NEON
BRIGHT AND CHEERFUL IS EVERYWHERE