Mercedes-Benz EQE350+ SUV Electric Art Line / AMG Line 2024 EV dilancarkan di Malaysia;RM399k-RM449k

Mercedes-Benz EQE350+ SUV Electric Art Line / AMG Line 2024 EV dilancarkan di Malaysia;RM399k-RM449k

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini telah melancarkan beberapa varian tambahan bagi EV Mercedes-Benz EQE pada pasaran tempatan. Ia termasuk dua dalam versi SUV iaitu Mercedes-Benz EQE350+ SUV Electric Art Line dan juga Mercedes-Benz EQE350+ SUV AMG Line 2024.

Kedua-dua versi ini merupakan varian yang hanya dilengkapi satu motor elektrik yang memacu roda belakang, berbanding varian tertinggi EQE 500 4Matic dengan dua motor elektrik pacuan semua roda yang telahpun dilancarkan di sini pada Disember tahun lalu.

Mercedes-Benz EQE 350+ SUV Electric Art Line dijual pada harga RM398,888, manakala EQE 350+ SUV AMG Line pula dijual pada harga RM448,888. Kesemua angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran.

Mercedes-Benz EQE350+ SUV Electric Art Line / AMG Line 2024 EV dilancarkan di Malaysia;RM399k-RM449k

Dengan berkongsi lencana EQE 350+ yang sama, kedua-dua varian ini dilengkapi motor elektrik yang serupa menghasilkan 292 PS (288 hp atau 215 kW) dan tork maksima 565 Nm, menerima bekalan kuasa elektrik dari bateri litium-ion 400-volt dengan kapasiti 90.56 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 596 km dengan satu cas penuh dalam kitaran WLTP.

Prestasi kedua-dua SUV EV pacuan roda belakang ini juga serupa dengan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 6.7 saat, sebelum mencatatkan kelajuan maksima 210 km/j.

Dengan bateri yang sama, kedua-dua model ini boleh dicas semula dengan pengecas AC 22 kW yang mengambil masa empat jam 45 minit untuk dipenuhkan dari 0%. Ia juga boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 170 kW dengan penyambung CCS2, di mana cas dari 10% hingga 80% dapat dicapai dalam masa 32 minit.

Papan pemuka Mercedes-Benz EQE 350+ SUV Electric Art Line (kiri) dan AMG Line (kanan)

Untuk pecahan perincian mengikut varian, model Electric Art Line menerima pakej penggayaan luaran Electric Art, lampu hadapan Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus serta rim aloi ringan lima jejari 20-inci. Manakala dalam kabin, ia juga menerima pakej penggayaan Electric Art dengan upholsteri kulit sintetik Neotex/Artico kemasan hitam dan space grey, dan juga perapi laser-cut dengan hiasan logo bintang tiga penjuru Mercedes-Benz.

Ia juga diberikan lampu suasana kabin aktif, konsol tengah kemasan hitam, pelapik bumbung fabrik hitam, tempat duduk comfort, karpet kaki velour, roda stereng balutan kulit, sistem penghawa dingin pelbagai zon Thermotronic, pad pengecas telefon pintar tanpa wayar dan juga suspensi Comfort.

Kabin SUV ini juga diberikan sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang menggandingkan paparan instrument digital dengan skrin 12.3-inci dan skrin sesentuh utama OLED 17.7-inci. Sistem infotainmen ini turut menampilkan audio Advanced Sound System, pengimbas cap jari untuk akses segera ke profil pengguna, sistem navigasi dengan teknologi AR, serta sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.

Manakala bagi EQE 350+ SUV AMG Line, ia dilengkapi dengan rim aloi ringan AMG lima-jejari berdiameter 20-inci, serta kelengkapan lain yang dikongsi bersama EQE 500 SUV seperti bumbung panaromik, suspensi Airmatic, stereng gandar belakang (dengan sudut putaran 10 darjah), sistem bunyi surround Burmester 3D dan tempat duduk Sports.

Ia juga diberikan pemijak sisi yang kelihatan seperti aluminium dan diberikan stad getah, upholsteri kulit, paparan head-up, karpet kaki AMG, pakken Energising, pakej Air Balance, pakej Acoustic Comfort dan juga roda stereng yang dibalut kulit Nappa.

Perapi kemasan dalaman pada EQE 350+ AMG Line ini juga serupa dengan EQE 500 menampilkan kemasan kayu magnolia dengan motif paten logo Mercedes-Benz aluminium.

Kedua-dua varian EQE 350+ SUV ini datang standard dengan pakej Driving Assistance Plus, menampilkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, Active Distance Assist Distronic (cruise control adaptif) dengan tambahan pemula automatik dalam kesesakan trafik, Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, Evasive Manoeuvre Support dan Pre-Safe Impulse Side.

Penghantaran kepada pelanggan bagi kedua-dua Mercedes-Benz EQE 350+ SUV Electric Art Line dan Mercedes-Benz EQE 350+ SUV AMG Line ini akan bermula Jun nanti.

GALERI: Mercedes-Benz EQE 350+ SUV Electric Art Line 2024

GALERI: Mercedes-Benz EQE 350+ SUV AMG Line 2024

Gambar rasmi Mercedes-Benz EQE 350+ SUV Electric Art Line 2024

Gambar rasmi Mercedes-Benz EQE 350+ SUV AMG Line 2024

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required