Bermula Oktober ini sehingga April tahun hadapan, stesen monorel di ibu kota bakal menjalani proses menaiktaraf dan baik pulih fasiliti secara berperingkat. Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sebanyak RM50 juta diperuntukkan oleh pengendali rel terbabit, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi kelancaran projek berkenaan, laporan Bernama.
Katanya, kemudahan yang akan dinaiktaraf termasuklah pemulihan kerosakan lif di 11 stesen, membaiki pintu di antara platform dengan tren, membaikpulih tandas awam dan melengkapkan kawasan stesen dengan kamera litar tertutup (CCTV) yang dlilengkapi video analitik.
Antara stesen monorel yang terlibat ialah Imbi, Hang Tuah, Tun Sambanthan, Raja Chulan, Bukit Nenas, KL Sentral, Chow Kit, Titiwangsa, dan Maharajalela.
“Projek ini akan memakan masa beberapa bulan untuk disiapkan dengan fasa pertama melibatkan empat stesen (KL Sentral,Tun Sambanthan, Maharajalela dan Hang Tuah) seawal Oktober. Fasa kedua pula melibatkan tujuh lagi stesen menjelang Disember,”katanya.
Loke berkata pembaikan pintu itu penting kerana terdapat beberapa insiden penumpang terjatuh di landasan trek monorel sebelum ini, tambahan pula perkhidmatan itu banyak digunakan orang ramai termasuk golongan cacat penglihatan.
“Kita menyiapkan platform automatik gate system charge dan palang ataupun pintu itu akan ditutup secara automatik apabila tren berkenaan bergerak. Selepas tren meninggalkan stesen ia akan ditutup secara automatik dan dibuka semasa tren tiba.
“Sekarang ini memang pintu berkenaan tidak berfungsi dan sentiasa terbuka sahaja. Jadi memang ada risiko yang tinggi serta memang pernah berlaku beberapa insiden ada penumpang terjatuh di atas landasan tren berkenaan,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.