Lexus LM 2024 di M’sia — versi mewah Alphard / Vellfire, LM350h dan LM500h, RM1.2 juta-RM1.5 juta

Lexus LM 2024 di M’sia — versi mewah Alphard / Vellfire, LM350h dan LM500h, RM1.2 juta-RM1.5 juta

Sepanjang pengenalan model generasi pertamanya sejak 2019, sejumlah 16,114 unit MPV mewah Lexus LM sudah terjual untuk pasaran global. Dan ketika diperkenalkan di Malaysia sejak April 2021, pengedar tempatan, UMW Toyota Motor berjaya menjual sebanyak 32 unit MPV yang jauh lebih mewah berbanding Toyota Aplhard dan Vellfire ini.

Kini, model generasi kedua Lexus LM pula diperkenalkan, dengan beberapa aspek penawaran yang pertama kali untuk pasaran tempatan berbanding generasi pertamanya sebelum ini. Yang dimaksudkan ialah, kini ada dua varian yang ditawarkan — bukan hanya berbeza daripada segi sistem janaan kuasanya, tetapi juga konfigurasi tempat duduk.

Lexus Malaysia kini menawarkan dua pilihan varian untuk Lexus LM 2024 generasi kedua ini — Lexus LM500 dengan konfigurasi tempat duduk 2+2, serta LM350h dengan konfigurasi tempat duduk 2-2-3. Kedua-dua varian ini memanfaatkan sistem janaan kuasa hibrid yang memberikan kesenyapan dan juga kecekapan tenaga.

Lexus LM 2024 di M’sia — versi mewah Alphard / Vellfire, LM350h dan LM500h, RM1.2 juta-RM1.5 juta

LM500h menggunakan enjin T24A-FTS 2.4L empat-silinder sebaris Dual VVT-i turbo hibrid petrol (Parallel Hybrid System) dengan sistem pacuan Direct 4 All Wheel Drive. Enjin ini menjana sebanyak 371 hp dan 460 Nm tork, serta dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.

LM350h pula menggunakan enjin 2.5L empat-silinder sebaris VVT-iE dengan sistem hibrid penuh (Series Parallel Hybrid System) yang menjana sebanyak 250 hp dan 239 Nm tork dengan kuasanya disalurkan ke roda depan, memberikan prestasi sekaligus penjimatan bahan api. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.1 saat. Sistem hibrid ini menggunakan bateri Bipolar Nickel-Metal Hydride (NiMH).

Lexus LM350h dengan tujuh tempat duduk dijual dengan harga RM1,228,000, manakala varian paling tinggi dengan empat-tempat duduk, LM500h dijual dengan harga RM1,468,000.

Lexus LM 2024 di M’sia — versi mewah Alphard / Vellfire, LM350h dan LM500h, RM1.2 juta-RM1.5 juta

Model generasi kedua ini dibangun menggunakan platform TNGA-K, dengan beberapa bahagian yang diperkukuh untuk lebih selamat. Tidak seperti model generasi pertama yang meminjam banyak persamaan dengan model Toyota Alphard dan Vellfire, LM generasi kedua ini menjarakkan lagi jurang tersebut, kerena LM mahu memberikan perkara-perkara yang tidak ada bagi dua MPV popular Toyota itu.

Dari segi penampilan luarannya, LM generasi kedua ini dilengkapi lampu utama dengan tiga tahap dalam rekaan lebih kompak, dengan dua lampu DRL khusus. Elemen paling ketara yang mendominasi wajah depannya ialah rekaan gril besar dengan kesan satin hot stamping yang digunakan. Rim pula menggunakan saiz 19-inci dengan ciri resin resonator untuk meredamkan lagi bunyi bising dari jalan dan roda, untuk menjadikan kabin lebih senyap.

Selain itu, ciri pemegang pintu e-latch untuk pintu depan serta see-saw switch untuk pintu gelungsur belakang turut memudahkan lagi kendalian oleh pengguna. Untuk Pintu belakang, satu lagi suis berdekatan lampu belakang turut tersedia untuk bukaan pintu dari luar. Di belakang, ia menggunakan jalur lampu khusus bentuk L dengan satu lagi jalur lampu di atasnya, yang merentasi seluruh kelebaran MPV mewah ini.

Lexus LM 2024 di M’sia — versi mewah Alphard / Vellfire, LM350h dan LM500h, RM1.2 juta-RM1.5 juta

Dari segi dimensi, Lexus LM generasi kedua ini mempunyai ukuran 5,125 mm panjang dan 1,890 mm lebar. Untuk ketinggian, ada perbezaan antara versi empat-tempat duduk dengan tujuh tempat-duduk — masing-masing dengan 1,955 mm dan juga 1,940 mm. Jarak roda antara keduanya sama, 3,000 mm.

Untuk sistem suspensi, bahagian depannya menggunakan jenis MacPherson Strut, sementara di belakang pula dengan jenis double-wishbone. Uniknya sistem suspensi ini ia hadir dengan ciri frequency-sensitive piston valve untuk bahagian depan dan belakang, yang akan memberikan kelebihan tambahan dari aspek serapan hentakan dan keselesaan kabin. Ini dicapai melalui ciri yang dikenali sebagai Rear Comfort Mode (RCM).

Kelebihan dan kelainan Lexus LM ini kebanyakannya diberikan untuk ruang dalaman, yang menawarkan keselesaan maksimum untuk penumpangnya. Antaranya ia dilengkapi dengan material dan kulit yang menyerap gegaran untuk kerusi penumpangnya. Dua warna kabin ditawarkan, iaitu hitam-kelabu gelap dan juga putih-gangsa.

Versi konfigurasi empat-tempat duduk hadir dengan lebih banyak ciri kemewahan. Ada pengasing dengan kedap bunyi yang memisahkan bahagian pemandu dan penumpang di belakang, dengan yang baru ini 40% lebih kedap bunyi berbanding model lama. Ia juga hadir dengan skrin ultra-lebar untuk digunakan, dengan tambahan ciri pemisah skrin kepada dua paparan dalam satu masa, atau boleh dijadikan skrin tunggal di tengah jika mahu.

Bagi aspek keselamatan, Lexus LM 2024 lengkap dengan sistem bantuan pemandu seperti sistem pra-perlanggaran, DRCC dengan ciri Stop/Go dan bantuan papan tanda jalan, bantuan mengekal lorong (LDA) dan bantuan mengesan lorong (LTA), Lexus Teammate Advanced Park, Safe Exit Assist (SEA) dan lampu tinggi adaptif (AHS).

Empat warna badan ditawarkan sebagai pilihan: Sonic Titanium, Sonic Quartz, Graphite Black dan Sonic Agate.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required