Program subsidi diesel beri RM200 sebulan untuk pemilik — harga akan naik hingga RM3.33 seliter

Program subsidi diesel beri RM200 sebulan untuk pemilik — harga akan naik hingga RM3.33 seliter

Kementerian Kewangan Malaysia telah mengumumkan program bantuan subsidi Madani, atau Budi Madani untuk pemilik kenderaan diesel persendirian individu, petani kecil serta pekebun kecil komoditi.

Permohonan akan dibuka esok, 28 Mei 2024 bagi mereka yang layak, di bawah kategori Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi di bawah subsidi Budi Madani. Pemohon yang berjaya bagi kedua-dua kategori akan menerima RM200 sebulan dalam bentuk bantuan kewangan sebagai sebahagian daripada program subsidi bersasar untuk diesel, jelas kementerian dalam satu kenyataan.

Kriteria kelayakan bagi pemohon Budi Individu adalah seperti berikut:

  • Warganegara Malaysia
  • Pemilik kenderaan persendirian diesel yang didaftarkan dengan JPJ, kecuali kenderaan mewah diesel yang kurang daripada 10 tahun
  • Kenderaan dengan cukai jalan sah
  • Pendapatan tahunan RM100,000 dan ke bawah (individu dan pasangan)

Kriteria kelayakan bagi pemohon Budi Agri-Komoditi adalah seperti berikut:

  • Pekebun dan petani kecil berdaftar dengan agensi berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Jaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK)
  • Mampu menunjukkan hasil tahunan antara RM50,000 dan RM300,000 daripada perladangan atau pengeluaran komoditi

Permohonan boleh dilakukan secara dalam talian di laman web Budi Madani, yang akan tersedia sepanjang tahun. Pemohon yang telah diluluskan permohonannya sebelum 3 Jun 2024 akan menerima bayaran Budi Madani yang pertama pada pertengahan Jun 2024, dengan bayaran berikutnya akan dilakukan setiap bulan.

Bagi permohonan yang diluluskan selepas 3 Jun 2024, pemohon yang berjaya akan menerima bayaran pertama dalam tempoh dua minggu, dan setiap sebulan selepas itu. Jumlah bayaran bulanan itu akan dipindahkan ke akaun bank pilihan pemohon, atau secara tunai menerusi cawangan BSN bagi pemohon yang berjaya, tetapi tidak memiliki akan bank.

Walaupun tidak dinyatakan secara jelas, fakta bahawa bayaran subsidi ini akan dimulakan seawal bulan Jun 2024 bermakna harga diesel di stesen minyak di Semenanjung Malaysia akan diapungkan mengikut harga pasaran dalam masa terdekat. Setakat hari ini, diesel Euro 5 tanpa subsidi dijual RM3.33 seliter, berbanding harga kawalan RM2.15 seliter. Ini melibatkan peningkatan RM1.18 seliter, atau 55%!

Meneliti angka-angka ini, bantuan RM200 akan menampung perbezaan harga sehingga 169.5 liter diesel setiap bulan. Bagi kenderaan diesel yang memberikan kadar penggunaan 10 km/L (kenderaan diesel pada umumnya besar dan berat), itu menjadikan purata jarak perjalanan 1,700 km sebulan, sebelum subsidi tersebut habis. Lebih daripada itu, anda akan membelanjakan lebihan untuk diesel berbanding penggunaan semasa ketika ini.

Program pindahan wang tunai secara bulanan akan turut dilakukan terhadap bahan api petrol juga, ketika nanti kerajaan memutuskan akan menarik balik subsidi terhadap petrol RON 95. Ketika ditulis, RON 95 tanpa subsidi dijual pada harga RM3.35 seliter — RM1.30 lebih mahal berbanding harga kawalan semasa iaitu RM2.05, atau melibatkan peningkatan 63%. Anda sudah bersedia untuk ini?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required