Lancia Ypsilon HF – hot-hatch EV 240 hp untuk jalan raya, 1.2L turbo 212 hp untuk jentera rali kelas Rally4

Lancia Ypsilon HF – <em>hot-hatch</em> EV 240 hp untuk jalan raya, 1.2L turbo 212 hp  untuk jentera rali kelas Rally4

Lancia, jenama ikonik Itali yang kini berada di bawah kumpulan Stellantis ‘hidup semula’ selepas memperkenalkan model Ypsilon generasi baharu pada Februari lalu. Dan kini, Lancia mula kembali ke warisan sejarah sukan permotorannya – memperkenalkan hot-hatch Ypsilon HF dan juga jentera rali sebenar Ypsilon Rally4 HF!

Menerusi pengenalan model ini, Lancia turut melancarkan kembali logo sayap perlumbaannya iaitu Lancia Corse HF. Dengan logo ‘gajah lompat’ bersama latar belakang tulisan HF (bermaksud High Fidelity) yang sama dengan versi klasik, ini bermakna Ypsilon HF ini merupakan model prestasi sebenar dari Lancia seperti Delta Integrale HF dahulu.

Sama seperti versi standard Ypsilon yang didedahkan sebelum ini, Ypsilon HF masih lagi sebuah hatchback lima-pintu dengan unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya (EV), diasaskan dari Common Modular Platform (CMP) yang sama seperti Peugeot 208.

Lancia Ypsilon HF – <em>hot-hatch</em> EV 240 hp untuk jalan raya, 1.2L turbo 212 hp  untuk jentera rali kelas Rally4

Namun berbeza dengan model standard yang dibekalkan dengan motor berkuasa 156 PS (115 kW) dan tork 260 Nm, Lancia Ypsilon HF ini pula menerima motor tunggal lebih bertenaga dengan kuasa 240 hp. Tiada perincian lain didedahkan oleh Lancia untuk hot-hatch ini, namun ia disahkan masih hanya memacu roda hadapan dan mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat.

Pada sebelah luar, Ypsilon HF ini menampilkan rekaan bampar hadapan lebih garang dengan gril yang lebih besar. Lancia juga menyatakan model HF ini diberikan tetapan suspensi yang lebih rendah bersama jarak trek roda yang lebih lebar.

Tidak lengkap kalau Lancia tidak kembali berlumba selepas hot-hatch ini diperkenalkan bukan? Oleh itu, Lancia Ypsilon HF ini turut dijelmakan sebagai kereta rali yang mematuhi undang-undang Rally4 FIA, dikenali sebagai Lancia Ypsilon Rally4 HF.

Rally4 merupakan antara kelas paling asas yang diwujudkan oleh FIA, dan ia disertai oleh pemandu-pemandu muda sebelum mereka beralih ke kelas lebih tinggi seperti Rally3, Rally2 dan Rally1. Oleh itu, versi rali ini tidak akan dipacu oleh motor elektrik, sebaliknya digantikan dengan enjin pembakaran dalaman dengan sesaran 1.2 liter tiga-silinder turbo berkuasa 212 hp.

Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear manual lima kelajuan lengkap dengan LSD, dan hanya memacu roda hadapan.

Lancia Ypsilon HF ini akan mula dijual di Eropah bermula bulan Mei tahun hadapan. Menurut Lancia, barisan model HF turut akan berkembang selepas ini menerusi pengenalan Lancia Gamma HF, dan juga satu lagi nama konik yang ditunggu-tunggu iaitu Lancia Delta HF!

GALERI: Lancia Ypsilon HF 2025

GALERI: Lancia Ypsilon Rally4 HF

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required