Selepas hampir satu tahun Yamaha XMax 250 versi dipertingkat diperkenalkan di Malaysia, ia kini diberikan pembaharuan warna, dengan melibatkan dua pilihan, iaitu Icon Black dan Ruby Red. Harga cadangan yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor adalah RM24,498 tidak termasuk insurans.
Harga ini jika dibandingkan dengan harga sewaktu ia dilancarkan pada tahun lepas, menyaksikan peningkatan sekitar RM500, dan diberikan dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km. Pembeli juga akan menerima kunci cakera brek yang bernilai RM100 secara percuma.
XMax 250 2024 dipacu oleh enjin satu silinder 250 cc suntikan bahan api yang sama seperti sebelum ini, mampu menghasilkan 22.5 hp pada 7,000 rpm dan 24.3 Nm tork pada 5,500 rpm, dan disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi automatik tali sawat.
Di hadapan penunggang terdapat skrin TFT 4.2 inci berwarna penuh yang boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi YConnect untuk memaparkan notifikasi panggilan, mesej, status bateri serta navigasi berasaskan Garmin. Di atasnya pula terdapat satu lagi skrin LCD 3.2 inci untuk tahap laju dan bahan api.
Kelengkapan lain pada skuter ini masih sama termasuk ruang simpanan bawah tempat duduk yang boleh memuatkan dua helmet, brek cakera depan dan belakang dengan ABS, rim padanan 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang, tangki bahan api 13 liter, tinggi tempat duduk 795 mm serta berat keseluruhan 183 kg. Suspensi menggunakan fork teleskopik biasa serta dua penyerap di belakang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.