Rapid Rail catat rekod jumlah penumpang harian tertinggi melebihi sejuta penumpang pada 29 Mei 2024

Pada 29 Mei 2024, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), Monorel dan transit aliran massa (MRT) di Lembah Klang berjaya melakar satu lagi sejarah iaitu
mencatatkan rekod mengendalikan lebih sejuta penumpang dalam sehari, jumlah tertinggi yang pernah dicapai sejak penubuhannya.

Menurut kenyataan yang dikongsi menerusi laman Facebook rasminya, Rapid Rail berkata pada tarikh berkenaan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mencatatkan bilangan penumpang sebanyak 287,102, diikuti LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dengan 224,184 penumpang.

Manakala perkhidmatan Monorel mencatatkan jumlah penumpang seramai 61,236 orang, dan MRT Laluan Kajang dengan 274,302 penumpang dan MRT Laluan Putrajaya pula mencecah 157,767 penumpang. Sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,004,591 iaitu peningkatan lebih 35% berbanding tarikh sama pada tahun 2023 (739,818 penumpang).

“Lonjakan ini dipacu dengan beberapa inisiatif yang digerakkan seperti proses penambahan kapasiti tren di (LRT) Laluan Kelana Jaya dan (MRT) Laluan Kajang, pembukaan semula perkhidmatan tren di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya bagi (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling pada 17 Feb 2024 lalu akibat kerosakan struktur jejambat, serta pembukaan beberapa lokasi tarikan baru di sepanjang jajaran rel.

“Selain itu beberapa acara berskala besar yang diadakan di sekitar stesen rel dan musim cuti sekolah turut menyumbang kepada peningkatan jumlah penumpang,” kata kenyataan yang dikeluarkan.

Sambungnya, “Rapid Rail amat berbangga kerana sasaran membawa sejuta penumpang sehari berjaya dicapai enam bulan lebih awal daripada jangkaan yang ditetapkan. Ini juga bukti sokongan padu khususnya daripada warga Lembah Klang yang setia menggunakan perkhidmatan rel pada setiap hari.

“Segala usaha penambahbaikan yang dilakukan oleh Rapid Rail selama ini juga seiring dengan aspirasi kerajaan dalam memajukan sektor perkhidmatan pengangkutan awam ke tahap lebih baik. Kesungguhan dan komitmen jurutera dan barisan hadapan Rapid Rail dalam menjalankan kerja-kerja penyelanggaran bagi menyediakan bilangan tren yang mencukupi serta memastikan kelancaran dan kestabilan perkhidmatan untuk manfaat pengguna.”

Rapid Rail turut berkata, kejayaan ini juga merupakan satu perkembangan yang positif selaras dengan visi dan misi syarikat induk Rapid Rail iaitu Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam memajukan mobiliti dan memperkayakan pengalaman pengguna pengangkutan awam.

“Rapid Rail ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penumpang di atas sokongan berterusan terhadap perkhidmatan yang disediakan. Kejayaan ini akan menjadi titik pengukur baharu untuk Rapid Rail sentiasa menyediakan perkhidmatan yang lebih baik serta dapat menarik lebih ramai pengguna untuk beralih kepada pengangkutan awam pada masa hadapan,” katanya lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required