Kerajaan Pulau Pinang dan PLUS Malaysia sedang dalam perancangan untuk membangunkan lebuhraya bertingkat Juru-Sungai Dua (JSD) baharu bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di plaza tol Juru dan Sungai Dua di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan. Projek lebuhraya baharu berkenaan dijangka bakal menelan belanja sekitar RM1.8 bilion, laporan The Star.
Semalam Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Ahmad Maslan berkata PLUS telah menyelesaikan peringkat pertama daripada tiga peringkat yang diperlukan untuk pengesahan.
“Negeri [Pulau Pinang] secara rasmi meminta projek itu daripada kerajaan persekutuan. Seterusnya, PLUS Malaysia membentangkan cadangan itu kepada Unit Perkongsian Awam-Swasta (Jabatan Perdana Menteri) pada Februari lalu, dan perbincangan sedang dijalankan.
“Setelah disahkan, langkah seterusnya melibatkan mendapatkan kelulusan Kabinet,” kata Ahmad Maslan yang turut menambah projek itu menawarkan potensi manfaat jangka panjang untuk Pulau Pinang dan negeri jiran, memandangkan penduduk mereka yang kerap melalui laluan itu secara rutin menghadapi kesesakan lalu lintas.
“Walaupun dijangka menghadapi cabaran pembinaan di lebuh raya semasa, kami berharap, kerana kami sudah dapat melihat cahaya di hujung terowong pada peringkat ini,” jelasnya lagi.
Perkara ini juga pernah disuarakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, yang berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalami sendiri kesesakan itu semasa lawatan pada Februari lalu. “Saya telah membawa Anwar dari Permatang Pauh ke Batu Kawan untuk melancarkan projek taman perindustrian pada waktu puncak dan dia turut merasai masalah ini (kesesakan trafik).
“Perkara itu dibangkitkan semula pada April lalu dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan agensi lain kemudian melakukan tinjauan di kawasan tersebut,” kata Chow yang turut menambah lebuh raya JSD berada dalam senarai misi pembangunan untuk Pulau Pinang, begitu juga projek LRT yang dijangka mula dibina menjelang akhir tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.