Minggu lalu, ada pengguna media sosial yang berkongsi foto ‘keretakan’ di bawah struktur di tiang jejambat Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) di Jalan Cheras. Foto tersebut juga telah tular dan menimbulkan tanda tanya serta kerisauan mengenai keselamatan pengguna jalan raya. Perkara ini juga pantas mendapat perhatian Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya, beliau berkata, “Dari Kapit, saya bergegas pulang ke Kuala Lumpur bagi melihat sendiri keadaan yang telah ditularkan. Bersama pasukan KKR, LLM (Lembaga Lebuhraya Malaysia), syarikat konsesi lebuhraya SPE, saya telah naik sendiri ke kren setinggi 16.1 meter bagi melihat dengan lebih dekat dan menyentuh kesan yang dikatakan retakan di tiang jejambat yang terlibat.
“Pihak konsesi dan jurutera profesional yang turut bersama telah mengesahkan tiada keretakan di tiang. Walaupun berpuas hati tetapi saya tetap mengarahkan crack monitoring meter dipasang di tiang terlibat bagi mengesan sebarang pergerakan atau keretakan. Alat ini akan dipasang selama sebulan bagi memantau keadaan tiang jejambat dan laporan akan disediakan oleh LLM.”
Di mana ‘keretakan’ tersebut sebenarnya hanyalah garisan hitam yang merupakan sambungan binaan daripada kerja konkrit sebelumnya. Walau bagaimana pun, beliau turut berkata, pihaknya memberi jaminan kepada semua penguna jalan raya bahawa laluan tersebut selamat digunakan.
“Terima kasih juga kepada orang awam yang telah menyalurkan aduan. Selari semangat MYJalan yang didukung KKR, saya berharap masyarakat akan terus berganding bahu bersama kami dalam menjadi mata dan telinga bagi mengetengahkan apa saja isu kerosakan infrastruktur rakyat. Seperti yang selalu saya tekankan, tiada kompromi apabila melibatkan nyawa rakyat,” tegasnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.