Pengusaha bas persiaran dan bas ekspres terkesan dengan kenaikkan diesel, kos naik 15 hingga 30%

Pengusaha bas persiaran dan bas ekspres terkesan dengan kenaikkan diesel, kos naik 15 hingga 30%

Bukan semua kenderaan pengangkutan diberikan subsidi bahan api diesel menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0. Antara yang tidak tersenarai menerima bantuan tersebut dan terpaksa membayar harga diesel RM3.35 seliter selepas penyasaran subsidi bahan api tersebut dimulakan oleh kerajaan bermula 10 Jun lalu adalah bas persiaran.

Menurut presiden Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung Malaysia Steven Chong dalam laporan The Star, ini telah menyebabkan kesemua 150 ahlinya terjejas keranan kos operasi yang meningkat sebanyak 30%.

“Selain daripada harga diesel yang diapungkan, kami perlu membayar semua jenis perbelanjaan seperti penyelenggaraan bas, bil, gaji, alat ganti dan kini kita perlu membayar cukai perkhidmatan sebanyak 8%. Pengusaha tidak mampu untuk menyerap harga,” kata Chong.

Chong menyatakan bahawa pengusaha-pengusaha bas ini gusar akan kehilangan pelanggan kerana sebut harga pakej persiaran yang telah diberikan sebelum ini adalah berdasarkan harga diesel bersubsidi dengan kadar RM2.15 liter sebelum ini. “Dengan kadar baharu ini, ia pastinya lebih mahal, dan kami bimbang ejen tidak akan mengambil tawaran dari kami,” tambahnya.

Pengusaha bas persiaran dan bas ekspres terkesan dengan kenaikkan diesel, kos naik 15 hingga 30%

Memorandum berkenaan harga bahan api juga telah diserahkan kepada menteri pelancongan, seni dan budaya semalam, dan memorandum tersebut menyatakan bahawa persatuan itu menerima “ribuan panggilan telefon” daripada pengusaha bas persiaran berikutan kadar diesel baharu RM3.35 setiap liter yang perlu dibayar oleh pengendali perkhidmatan bas, kata Chong dan menambah bahawa kos tambahan itu terpaksa diserap dan sebut harga harga asal tidak boleh ditarik balik.

Presiden Persekutuan Pelancongan Malaysia Datuk Tan Kok Liang pula menjangkakan kenaikan 27% dalam kos perkhidmatan pelancongan di Semenanjung Malaysia. Namun menurutnya pengusaha pelancongan akan mematuhi kadar yang disediakan untuk komitmen yang telah ditandatangani sebelum ini. “Kita perlu menghormati komitmen yang dibuat, tetapi ia akan menyaksikan kita kehilangan wang,” katanya dan menggesa kerajaan supaya mempunyai tempoh tangguh selama 12 bulan untuk industri pelancongan menyesuaikan kadar mereka.

Manakala Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia Nigel Wong pula merayu agar kenderaan berkuasa diesel dalam sektor pelancongan dimasukkan dalam senarai kenderaan skim sistem kawalan diesel bersubsidi (SKDS). “Jika ada ruang untuk bernafas pasti akan membantu,” kata Wong, sambil menambah bahawa mereka telah meminta untuk bertemu dengan kementerian perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup (KPDN).

Perkhidmatan bas ekspres juga bakal terkesan dengan penyasaran subsidi diesel ini kerana walaupun tersenarai dalam SKDS 1.0, pengusaha diberikan kouta terhad terhadap diesel yang boleh dibeli pada harga RM1.88 seliter.

Pengusaha bas persiaran dan bas ekspres terkesan dengan kenaikkan diesel, kos naik 15 hingga 30%

“Kuota untuk bas ekspres telah ditetapkan pada 2,880 liter sebulan, yang hanya cukup sekitar 15 hari,” kata Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali.

Dalam perkembangan sama, menteri pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menyatakan bahawa pengusaha bas ekspres tidak sepatutnya menaikkan kadar tambang kerana subsidi diesel terus diberikan menerusi kad fleet diesel bersubsidi di bawah SKDS.

“…tidak sepatutnya berlaku (kenaikan tambang), subsidi diesel terus diberikan kepada pengusaha bas ekspres dan bas sekolah.

“Mereka tidak terkesan dari segi kenaikan harga diesel sebab pengusaha bas sekolah, bas ekspres ini sudah sedia terima subsidi. Jadi apa yang mendorong mereka menaikkan harga tambang,” kata Loke dalam laporan Bernama bagi mengulas khabar angin berkaitan kemungkinan berlaku kenaikan tambang bas ekspres, bas sekolah dan bas persiaran susulan pengumuman kenaikan harga diesel.

Pengusaha bas persiaran dan bas ekspres terkesan dengan kenaikkan diesel, kos naik 15 hingga 30%

Beliau turut menambah kadar tambang bas ekspres tidak boleh dinaikkan sesuka hati kerana ia adalah di bawah seliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Bagi bas sekolah, kita tidak kawal harganya cuma kita galakkan perbincangan antara pengusaha bas sekolah dengan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Bas persiaran pula adalah untuk kegunaan pelancong asing dan bagi tujuan pelancongan bukannya kegunaan harian, jadi tidak ada subsidi untuk sektor pelancongan.

“Kos pelancongan di negara kita memang cukup kompetitif, mungkin ada sedikit kenaikan kos untuk pelancong asing namun saya rasa ia boleh diterima mereka,” katanya lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required