Kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di stesen minyak kawasan sempadan Malaysia-Thailand bagi tujuan pemantauan, menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail.
Jelasnya, sebagai permulaan, CCTV akan dipasang di stesen terpilih yang dipercayai sering menjadi pilihan penyeludup dalam masa terdekat. Di mana, katanya, ia adalah antara langkah mencegah kegiatan pembelian diesel secara berulang yang dibimbangi untuk tujuan penyeludupan.
“Buat masa sekarang, KPDN meletakkan anggota penguat kuasa secara statik di beberapa stesen terpilih seperti di Tumpat dan Pasir Mas,” katanya kepada Bernama.
Tambah beliau, pemasangan CCTV akan membolehkan KPDN memantau dari pejabat dan mudah mengambil tindakan jika berlaku penyeludupan. Walau bagaimana pun, perkara itu masih dalam perbincangan dengan syarikat minyak dan belum dimuktamadkan.
“Setakat ini, stesen minyak mempunyai CCTV masing-masing dan sekiranya pemantauan mahu dilakukan, pihak KPDN perlu ke stesen minyak untuk membuat pemantauan khususnya melihat di CCTV stesen. Apa yang kita inginkan adalah pemantauan terus dari pejabat. Di daerah bersempadan, ada 46 stesen minyak dalam radius 20 kilometer yang menjadi tumpuan penyeludup bahan api berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, KPDN Kelantan juga telah menetapkan larangan untuk pembelian berulang bagi pengisian petrol RON95 di semua stesen minyak di Kelantan. Ia bertujuan bagi mengelak petrol bersubsidi itu diseleweng ke negara jiran. Di mana arahan itu dikeluarkan selepas ada pihak dikesan cuba menggunakan pembelian berulang untuk mengumpulkan stok RON95 sebelum diseludup ke Thailand,
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.