Pro-Net selaku pengedar kenderaan smart di Malaysia telah mengumumkan program servis lepas jualan smartCare terbaru, yang dirangka untuk memastikan keadaan baik setiap kenderaan smart dan memberikan sokongan proaktif kepada pemilik smart sedia ada.
Ciri penting yang terkandung di dalam ekosistem lepas jualan smart ini ialah sistem Live High Voltage Battery Monitoring, yang telah termasuk di dalam binaan EV terkini smart. Ciri ini meninjau kesihatan bateri dalam masa nyata dan memberi peringatan sekiranya ada masalah kepada smart Central di China, membolahkan langkah proaktif diambil untuk mengekalkan prestasi optimum dan ketahanan bateri.
Pro-Net juga bekerjasama dengan penyedia servis baik pulih bateri tempatan untuk menguruskan pengurusan baterinya. Ini membolehkan syarikat untuk melakukan baik pulih dengan cepat dan mesra alam dengan cara menggunakan semula komponen yang masih berfungsi, mengurangkan tempoh menunggu serta kesannya terhadap alam.
Pusat rakan kerjasama tempatan ini didakwa mempunyai juruteknik bateri yang bertauliah dan terlatih. Sementara itu, pasukan lepas jualan smart yang terdiri daripada pakar EV mahir dari smart Central akan turut memberi sokongan. Pasukan ini juga dikatakan akan menjalani latihan berterusan dan mempunyai pengetahui semasa berkaitan teknologi EV.
Dari segi alat ganti, Pro-Net ketika ini mempunyai lebih daripada 3,000 SKU dan lebih 10,000 alat ganti dalam stok, bertujuan untuk mengurangkan masa menunggu dan mempercekap proses baik pulih. Syarikat ini juga mendakwa menjadi yang pertama di Malaysia untuk menyediakan bilik khusus bateri bagi penyimpanan dan operasi yang selamat.
Pro-Net juga mempunyai pusat baik pulih badan dan cat kenderaan di Ipoh, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang berupaya mengendalikan tuntutan insurans, ganti cermin depan dan cat serta baik pulih badan kenderaan. Alat ganti tulen juga digunakan untuk mengekalkan kualiti serta pelindungan jaminan. Kesemua 10 cawangan smart juga dilengkapi dengan pengecas AC dan DC.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.