Geely perkenal bateri LFP Aegis baru dengan ketumpatan tenaga lebih tinggi, saiz lebih kompak

Geely perkenal bateri LFP Aegis baru dengan ketumpatan tenaga lebih tinggi, saiz lebih kompak

Geely telah mendedahkan bateri lithium iron phosphate ‘short blade’ generasi terbaru yang dipanggil sebagai Aegis, mempunyai ketumpatan tenaga 192 Wh per kg bersama pelbagai peningkatan teknologi bateri lain termasuk keselamatan, jangka hayat pengecasan, kemampuan cas pantas serta prestasi suhu rendah.

Bateri ini akan diguna buat pertama kalinya pada Geely Galaxy 5 yang akan dijual di China hujung tahun ini, dengan pek yang berkapasiti 49.52 kWh dan 60.22 kWh. Menurut laporan CarNewsChina, ia boleh memberikan jarak gerak CLTC masing-masing 440 km dan 530 km.

Tahap ketumpatan tenaga 192 kWh per kg pada bateri Aegis ini adalah setanding dengan bateri ternary, dan secara fizikalnya adalah lebih kompak dengan catatan panjang 580 mm, berbanding 960 mm bagi bateri biasa.

Bateri short-blade ini telah mencapai tahap mengecas 10-80% dalam masa 17 minit empat saat pada kadar 2.45C, berbanding bateri long-blade yang mencatat 26 minit dalam ukuran yang sama, dengan kadar purata 1.61C. Dalam ujian suhu sejuk -30 darjah celsius, bateri baru ini berjaya mencapai tahap pengekalan kapasiti 90.54%, sementara bateri long-blade mencatat 78.96%.

Saiz 40% lebih pendek berbanding bateri long-blade biasa juga membawa kepada tahap rintangan dan haba dalaman yang lebih rendah, sementara penggunaan kapasiti (volume utilisation) meningkat sebanyak 50%. Dalam ujian, bateri Aegis ini telah mencapai kitaran mengecas semula 3,500 kali, yang mana menurut Geely, bersamaan dengan tempoh mengecas dan memandu sehingga satu juta kilometer.

Bateri Aegis telah melalui pelbagai ujian lasak, termasuk pendedahan kepada api sehingga 1,000 darjah celsius selama 130 saat, ujian karat dengan merendamnya dalam air laut selama 48 jam, ujian impak bahagian bawah badan berulang kali, ujian musim sejuk pada suhu -35 darjah celsius bersama ketinggian 5,000 m selama lapan jam dan ujian gulingan dengan jumlah berat.

Dalam syarikat, Geely juga telah melakukan ujian sendiri seperti cuba membocorkan pek bateri dengan lapan paku, tanpa sebarang kesan selepas satu jam, dan tembakan senapang biasa China, yang juga tidak menyebabkan sebarang nyalaan – lapor CarNewsChina.

Geely perkenal bateri LFP Aegis baru dengan ketumpatan tenaga lebih tinggi, saiz lebih kompak

Menurut Geely, keputusan ujian ini dapat dicapai memandangkan bateri short blade menggunakan diaphragm berkekuatan tinggi, yang juga sangat tahan panas, “dengan separator yang sangat stabil digabungkan bersama elektrod selamat, kita dapat menghasilkan bateri yang mempunyai ketumpatan tinggi dan selamat.”

Teknologi fius sendiri yang dibuat oleh Geely pada permukaan elektrod dapat mencegah litar pintas apabila kenderaan mengalami kemalangan, sementara pelapis aluminium yang dimasukkan pada diaphragm bateri mencipta lapisan penebat sekiranya bateri tersebut tercucuk.

Menurut Geely, bateri ini juga mempunyai rekaan kerangka grid, ronggan serap tenaga, plet pelindung bawah tiga lapisan, integrasi cell-to-body, sistem kawalan suhu runway serta beberapa lagi ciri keselamatan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required