Mercedes-Benz buat pelaburan besar bangunkan semula enjin pembakaran dalaman, ubah pelan EV

Mercedes-Benz buat pelaburan besar bangunkan semula enjin pembakaran dalaman, ubah pelan EV

Selepas melihat jualan model-model kenderaan elektrik penuh (EV) mula perlahan pada awal tahun ini dan mejangkakan model-model EV dan plug-in hybrid (PHEV) hanya akan mengusai 50% pasaran globalnya pada 2030, Mercedes-Benz sudahpun membayangkan visinya untuk menjadikan pengeluar EV 100% pada tahun tersebut telah diubah. Dan terbaharu, pengeluar automotif premium dari Jerman berkenaan dilaporkan akan membuat pelaburan besar bagi membangunkan semula enjin pembakaran dalaman.

Dalam laporan majalah perniagaan Jerman Wirtschaftswoche yang dipetik oleh Motor1.com, CEO Mercedes-Benz Ola Källenius menyatakan bahawa teknologi enjin pembakaran dalaman akan “bertahan melangkaui 2030”, dan oleh itu syarikatnya akan membuat pelaburan besar bagi membangunkan semula teknologi enjin tersebut yang mematuhi undang-undang emisi ketat bermula tahun ini.

Laporan itu turut menyatakan bahawa tahun ini sahaja Mercedes-Benz telah membuat pelaburan sebanyak 14 bilion euro (RM71 bilion) untuk divisi kenderaan penumpangnya, di mana ia membabitkan dana untuk membangunkan “teknologi tinggi pembakaran dalaman), elektrifikasi dan digitalisasi. Källenius tidak memperincikan peruntukan sebenar yang diletak untuk membangunkan enjin, tetapi beliau mengakui ia melibatkan “perbelanjaan lebih besar dari apa yang dijangkakan”.

Beliau turut menyatakan Mercedes-Benz membuat pelaburan yang lebih banyak dari biasa untuk model facelift S-Class dengan enjin pembakaran dalaman yang dijangka akan diperkenalkan pada 2026. Menurutnya lagi Mercedes perlu memastikan unit rangkaian kuasa konvensionalnya berada pada tahap teknologi tertinggi, dan sekiranya pelaburan besar tidak dibuat, perniagaan enjin pembakaran dalamannya akan terhenti pada tahun 2027 atau 2028.

Källenius merujuk kepada undang-undang emisi Euro 7 di Eropah dan China 7 di China yang bakal mula digunakan pada masa yang dinyatakan tersebut. Bagi memastikan Mercedes mengelak untuk membayar denda yang mahal, enjin-enjin pembakaran dalaman dan juga transmisinya perlu dipastikan bersih dan mematuhi undang-undang yang lebih ketat itu sebelum tiba waktu perlaksanaannya.

Untuk itu, enjin-enjin berkenaan akan menerima teknologi elektrikfikasi untuk berfungsi dengan lebih bersih, dan Källenius membayangkan Mercedes-Benz akan hadir dengan lebih banyak model-model hibrid. Walaupun hala tuju Mercedes-Benz terhadap EV sudah berubah, bos besar syarikt itu menyatakan objektif Mercedes untuk mencapai karbon neutral pada 2040 masih lagi kekal.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required