Chery Malaysia telah mengeluarkan satu kenyataan media, menyatakan rancangan integrasi serta pelaburan mereka di sini. Semuanya adalah berkenaan dengan kilang Chery Corporate Malaysia yang baru dibuka di Shah Alam bulan lalu.
Kilang ini memulakan operasi dengan pemasangan SUV Jaecoo J7 untuk pasaran tempatan, sementara model sedia ada Chery seperti Omoda 5, Tiggo 8 Pro dan Tiggo 7 Pro masih lagi dikeluarkan melalui kilang Inokom di Kulim, Kedah.
Bergerak terus ke depan, syarikat ini mempunyai perancangan yang lebih besar untuk Shah Alam dan Malaysia, iaitu menjadikan ia sebagai hab kenderaan panduan sebelah kanan serta kemudahan penyelidikan dan pembangunan. Sebelum ini ia sudah disahkan oleh presiden Chery International, Zhang Guibing yang melancarkan kilang Shah Alam tersebut.
“Sementara China menggunakan kenderaan pemanduan sebelah kiri, Malaysia menawarkan peluang unik untuk menyediakan keperluan pasaran pemanduan sebelah kanan. Kami sangat berminat untuk mengembangkan perniagaan di sini dan Malaysia boleh menjadi hab pemanduan sebelah kanan,” kata Zhang sambil menambah syarikat mempunyai perancangan untuk meneroka eksport ke negara RHD dan menggunakan kedudukan strategik Malaysia.
Zhang juga memberitahu bahawa Chery mempunyai visi masa panjang yang termasuk “memastikan rakan kongsi tempatan berpuas hati, mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia serta memperkenalkan teknologi baru kepada pasaran tempatan.”
Kesemua usaha ini, menurut Zhang akan menguatkan lagi asas operasi Chery di Malaysia, dan “memastikan kualiti serta kecekapan berstandard tinggi yang seterusnya membina keyakinan pelanggan berpanjangan.”
Hujung tahun lalu Chery menjanjikan pelaburan RM1 bilion untuk memberi sokongan kepada Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030. Syarikat itu menyatakan ia adalah sebagai satu komitmen jangka masa panjang yang menunjukkan keyakinan mereka terhadap potensi Malaysia.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.