Kajian mengenai perundangan berkaitan Lemon Law membabitkan kumpulan perunding pakar yang dimulakan bulan lalu, dijangka selesai September ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Lemon Law ialah undang-undang menyediakan hak tebus rugi kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan remedi terhadap produk berulang kali rosak selain gagal memenuhi standard kualiti serta prestasi.
Menurut Asmizan, kajian kebolehlaksanaan Lemon Law itu dilaksanakan susulan pelbagai aduan yang diterima. Di mana hasil kajian berkenaan akan dijadikan asas pertimbangan, sama ada perlu membuat penambahbaikan terhadap kerangka perundangan sedia ada atau perundangan baharu perlu digubal, laporan Bernama.
“Kementerian akan terus melaksanakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan, termasuk penganjuran Simposium Kepenggunaan Malaysia 2024 esok,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai usaha kerajaan menggubal akta baharu atau meminda akta sedia ada, berkaitan Lemon Law bagi melindungi pengguna dalam hal pembelian kenderaan.
Armizan berkata peruntukan perundangan bercirikan Lemon Law setakat ini termaktub dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Selain itu, peruntukan undang-undang sedia ada yang memiliki ciri komponen Lemon Law juga terkandung dalam beberapa akta dan peraturan merentasi kementerian serta agensi seperti Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Beli 1967.
Beliau turut berkata kadar baharu amaun had tuntutan ganti rugi pengguna terhadap pembekal atau pengilang adalah antara komponen utama dalam pertimbangan menambah baik undang-undang bercirikan Lemon Law. Ini kerana, katanya, Seksyen 98(1) Akta Pelindungan Pengguna 1999 (Akta 599) ketika ini, hanya menetapkan tuntutan ganti rugi pada kadar RM50,000 sahaja.
“Laporan awal KPDN dalam menambah baik undang-undang Lemon Law, had bidang kuas termasuk nilai had RM50,000 adalah antara empat komponen utama isu berbangkit yang perlu ditambah baik. Saya amat bersetuju bahawa melihat realiti dan tuntutan semasa nilai had amaun ini adalah perkara perlu diperkukuh dan ditambah baik,” katanya menjawab soalan tambahan Shamshulkahar mengenai syor menaikkan had tuntutan kepada RM150,000.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.