Geely Emgrand facelift 2024 dilancar di China – 1.5L NA, CVT dan 5MT, kamera 540-darjah, RM45k-RM58k

Geely Emgrand facelift 2024 dilancar di China – 1.5L NA, CVT dan 5MT, kamera 540-darjah, RM45k-RM58k

Selepas didedahkan bulan lalu, kembar Proton S70 di China iaitu Geely Emgrand generasi keempat secara rasminya dilancarkan dalam versi facelift 2025. Di sana, Emgrand ditawarkan dalam empat varian berbeza bermula model asas 1.5D 5MT berharga 69,900 yuan (RM45k), 1.5D CVT berharga 78,900 yuan (RM52k), 1.5D CVT Premium berharga 83,900 yuan (RM54k) dan juga 1.5D CVT Flagship berharga 88,900 yuan (RM58k).

Kesemua varian ini menerima hanya satu jenis enjin iaitu unit 1.5 liter empat silinder NA, menghasilkan kuasa 127 PS dan tork maksima 152 Nm, tanpa sebarang pilihan enjin turbo seperti S70 di Malaysia. Bagi varian 5MT, ia diberikan kotak gear manual lima kelajuan, manakala pilihan CVT automatik diberikan kotak gear yang didakwa sudah diperbaharui dengan lapan-kelajuan maya yang memberikan penghantaran kuasa lebih lancar.

Pada sebelah luar, model facelift ini hanya menerima beberapa perubahan kosmetik kecil, antaranya gril dengan elemen air terjun diberikan nafas baharu dan dipadankan dengan logo Geely pada sebelah tengah yang kini dalam kemasan Perak sepenuhnya. Ia juga diberikan lampu kabus baharu yang lebih ringkas dengan jalur LED berbentuk-L.

Geely Emgrand facelift 2024 dilancar di China – 1.5L NA, CVT dan 5MT, kamera 540-darjah, RM45k-RM58k

Rekaan dalaman juga masih lagi sama seperti sebelum ini, namun ia menerima peningkatan pada pada skrin instrumen LCD berwarna bersaiz 12.3-inci baharu yang kini nampak sama seperti yang dipadankan pada Proton S70 dan juga skrin infotainmen baharu lebih besar juga kini bersaiz 12.3-inci.

Skrin infotainmen tersebut beroperasi dengan OS Galaxy Geely terkini, dan ia dilengkapkan untuk semua varian termasuk varian asas dengan kotak gear manual. Manakala untuk varian Premium dan Flagship, skrin tersebut turut memaparkan visual dari kamera pemantau “Eye of God” 540-darjah yang menunjukkan paparan bahagian bawah lantai kereta ini.

Bumbung panaromik pula hanya ditawarkan bermula varian Premium, manakala tempat duduk pemandu larasan elektrik enam-hala hanya diberikan pada varian Flagship. Selain itu, versi facelift ini juga kini ditawarkan dengan tema kabin oren-hitam.

Namun Geely Emgrand masih lagi belum dipadankan dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) seperti Proton S70. Antara perician keselamatan yang diberikan termasuk enam beg udara (hanya varian Flagship), bantuan mula mendaki, sistem kunci pintar dan bantuan parkir.

Selain itu ia juga aplikasi telefon pintar bagi memantau pelbagai informasi kenderaan, serta mengawal fungsi secara jarak jauh seperti menghidupkan/mematikan enjin dan sistem penghawa dingin.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required