Ini ada maklumat tambahan kejadian kecurian kenderaan di valet KLCC yang berlaku hujung minggu lalu, daripada ketua polis Dang Wangi, Noor Dellhan Yahya.
Menurut beliau, kejadian bermula pada jam 12.48 pm hari Ahad, di mana pemilik yang berusia 31 tahun menyerahkan SUV Honda HR-V kepada pekerja valet Suria KLCC, dan kemudiannya ia dialihkan sementara ke persisiran jalan utama. Selepas 10 minit, sewaktu kenderaan tersebut mahu dialihkan semula, ia didapati sudah tiada, sedangkan kunci masih berada pada pekerja valet.
Pemilik kenderaan tersebut, yang merupakan seorang penghias dalaman mengetahui berkenaan kecurian tersebut apabila beliau mahu beredar daripada pusat membeli belah tersebut pada jam 1.20 pm, dan selepas itu terus membuat laporan polis.
“Mangsa kemudiannya menghubungi pusat kawalan Dang Wangi untuk membuat laporan kehilangan kenderaan tersebut dan buletin menyeluruh dimuat naik untuk mengesan kenderaan tersebut,” kata Noor Dellhan sambil menambah bahawa pada jam 2.35 pm, SUV tersebut ditemui di USJ One Avenue, Subang Jaya oleh unit peronda polis.
Suspek yang memandu kenderaan tersebut cuba untuk melarikan diri tetapi berjaya ditahan. “Permohonan reman untuk suspek yang berusia 58 tahun dan mempunyai dua rekod dadah lampau ini akan dibuat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” kata Noor Dellhan dalam laporan Bernama.
Kejadian ini mungkin adalah satu kes ‘relay attack‘, yang semakin banyak digunakan oleh pencuri untuk mendapatkan akses kepada kenderaan yang menggunakan sistem masuk dan hidup tanpa kunci. Biasanya dengan cara ‘relay attack‘ ini, ia melibatkan dua individu.
Seorang akan berada dekat dengan kunci untuk mendapatkan frekuensi kunci kenderaan, dan seorang lagi akan berada dekat dengan kenderaan, menerima frekuensi tersebut dan ‘menipu’ kenderaan supaya berfikir bahawa kunci berada berdekatan, sekaligus boleh dibuka dan dihidupkan seperti biasa.
Antara cara untuk mengelakkan kecurian ‘relay attack‘ ini adalah dengan meletakkan kunci kenderaan di dalam kotak Faraday, iaitu kotak yang boleh menghalang siaran medan elektromagnetik. Bagi pemilik kenderaan, tidak banyak yang boleh mereka lakukan, dan sistem telematik dan GPS kenderaan yang boleh menunjukkan kedudukan kenderaan dalam telefon mungkin adalah yang paling berguna.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.