Negara menanggung kerugian lebih RM25 bilion tahun lalu yang mewakili 1.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akibat kemalangan jalan raya, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Katanya lagi, jumlah itu mencatatkan peningkatan berbanding anggaran kerugian pada tahun terdahulu, laporan Berita Harian.
“Berdasarkan statistik kematian dan kecederaan parah dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laporan perangkaan kemalangan jalan raya dan Program Penilaian Jalan Raya Antarabangsa (iRAP), negara dianggarkan mengalami jumlah kerugian hampir RM18 bilion pada 2010 iaitu 2.2% daripada KDNK. Ia meningkat kepada lebih RM25 billion pada 2023,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau menjawab demikian susulan pertanyaan daripada Pang Hok Liong (PH-Labis) yang meminta penjelasan jumlah kerugian ditanggung akibat kemalangan jalan raya setiap tahun dan langkah efektif diambil bagi mengatasi masalah itu.
Loke turut berkata antara langkah efektif dijalankan bagi mengatasi masalah itu, kementeriannya membangunkan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022- 2030 (PKJRM 2022-2030).
“Penetapan PKJRM 2022-2030 adalah untuk mencapai pengurangan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sekurang-kurangnya pada kadar 50% menjelang 2030. Ia selaras dengan seruan dan sasaran Resolusi 74/299, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.
Selain itu, katanya, MoT dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sedang meneliti pelaksanaan pembangunan berasaskan konsep Transit Oriented Development (TOD). Melalui inisiatif itu, ia bermatlamat mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian bagi memenuhi keperluan mobiliti individu, selain menggalakkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam.
Jelasnya, melalui kerjasama rentas kementerian itu, secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan risiko nahas jalan raya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.