Mazda CX-50 yang menerima penjana kuasa hibrid untuk model tahun 2025 telah pun dilancarkan di Amerika Syarikat (USA), dengan harga dari USD33,970 hingga USD40,050 (sekitar RM159k hingga RM188k) dan menawarkan tiga varian. Varian hibrid diposisikan antara penjana kuasa biasa unruk CX-50 termasuk 2.5 liter tanpa-hibrid, dengan pilihan naturally-aspirated serta 2.5 liter turbo.
CX-50 Hybrid mungkin masih baru di pasaran USA, tetapi ia telah pun dilancarkan di China awal tahun ini. Penjana kuasa hibridnya sama dengan yang memacu Toyota RAV4 Hybrid kerana kedua-dua jenama sedang bekerjasama, dan menampilkan enjin 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris petrol, bateri hibrid dan CVT elektronik dan tiga motor elektrik.
Dua motor elektrik diletakkan di hadapan iaitu satunya menjana generator, sementara satu lagi memacu roda hadapan. Manakala motor elektrik ketiga ditempatkan di belakang untuk memberikan pacuan semua-roda, dengan keseluruhan larasan mampu menghasilkan kuasa mencecah 219 hp dan tork 221 Nm, menggunakan bahan api octane 87, sama dengan RAV4 Hybrid yang dijual di USA.
Mazda mendakwa penggunaan bahan apinya sekitar 38 mpg (6.2 l/100 km) untuk CX-50 Hybrid, iaitu 40% lebih baik berbanding varian CX-50 2.5 S. Versi hibrid ini ditawarkan dengan kemasan Preferred, Premium dan Premium Plus. Penghantarannya bermula akhir 2024 selepas model tanpa-hibrid tiba di cawangan wakil pengedaran pada bulan hadapan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.