Untuk anda yang mungkin tertanya-tanya mengenai status projek pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur atau EKVE yang telah memulakan pembinaannya sejak 2015 namun sehingga kini masih belum siap, ini jawapan dari Kementerian Kerja Raya (KKR).
Menurut KKR, projek pembinaan lebuhraya terbabit kini telah mencapai kemajuan 89% setakat 25 Mei 2024, dan tempoh pembinaannya telah melebihi dari tarikh yang dijanjikan iaitu Mei 2024 disebabkan pihak syarikat konsesinya telah menghadapi beberapa masalah.
Antaranya aliran tunai akibat kos pengambilan tanah yang melebihi siling, kenaikan harga bahan binaan, perubahan reka bentuk naiktaraf jalan Ukay Perdana di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan isu kontraktual dengan pihak subkontraktor yang menyebabkan pemberhentian sementara kerja-kerja di tapak sebelum ini.
“Walau bagaimanapun, pihak syarikat telah mengesahkan bahawa permasalahan-permasalahan yang dihadapinya ketika ini telah hampir diselesaikan sepenuhnya bagi memastikan sambungan baki kerja-kerja pembinaan di tapak dapat diteruskan,” jelas KKR menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.
Kenyataan tersebut adalah bagi menjawab soalan dikemukakan oleh Mohd Sani Hamzan (PH-Hulu Langat) yang ingin mengetahui tindakan KKR terhadap pemaju Lebuh Raya EKVE setelah tempoh pembinaan lebih raya itu melebihi dari tarikh yang dijanjikan untuk disiapkan dan mengakibatkan kesesakan jalan di Hulu Langat bertambah buruk.
Kementerian ini turut menambah, syarikat Konsesi Lebuhraya EKVE juga telah mencadangkan penyiapan projek lebuhraya ini dibahagikan kepada dua seksyen dengan mengambil kira keperluan segera untuk memastikan lebuhraya ini boleh dibuka bagi memberi manfaat kepada pengguna khususnya untuk penyuraian trafik di kawasan Semenyih, Kajang, Hulu Langat dan Ampang untuk ke pusat bandaraya Kuala Lumpur dan sebaliknya.
“Seksyen 1 melibatkan Persimpangan Bertingkat Sungai Long sehingga Persimpangan Bertingkat Ampang yang mempunyai empat (4) Persimpangan Bertingkat iaitu di Sungai Long, Bandar Mahkota Cheras, Hulu Langat dan Ampang. Manakala Seksyen 2 pula membabitkan Persimpangan Bertingkat Ampang sehingga Persimpangan Bertingkat Ukay Perdana yang mempunyai satu Persimpangan Bertingkat iaitu di Ukay Perdana dan seterusnya bersambung di Jalan Ukay Perdana dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Kampung Pasir.
“Pihak konsesi optimis untuk menyiapkan projek pembinaan lebuhraya di Seksyen 1 (Sungai Long sehingga Ampang) pada Disember 2024 dan Seksyen 2 (Ampang sehingga Ukay Perdana) pada 31 Disember 2025, iaitu selaras dengan tarikh penyiapan keseluruhan projek seperti mana Perjanjian Konsesi Tambahan Ke-Lima (SCA 5) yang telah dimeterai. Secara kontraktual, pihak EKVE mempunyai masa sehingga 31 Disember 2025 untuk menyiapkan projek sejajar dengan tempoh pelanjutan masa yang diberikan oleh Kerajaan,” kata kementerian ini lagi.
EKVE merupakan lebuhraya baharu di Lembah Klang yang sedang dalam pembinaan. Ia memiliki jajaran laluan sepanjang 39.5 km yang menghubungkan Ukay Perdana di Ampang dengan Bandar Sungai Long di Kajang. Lebuhraya ini juga adalah sebahagian daripada Kuala Lumpur Outer Ring Road (KLORR). Fasa pertama projek ini yang meliputi laluan sepanjang 24.1 km dan bermula dari Lebuhraya MRR2 di Ukay Perdana melalui Ampang, Hulu Langat, Bandar Mahkota Cheras dan berakhir di Lebuhraya SILK, Kajang (selatan).
Projek pembinaan EKVE dikendalikan oleh EKVE Sdn Bhd dan mula dibina sejak 1 September 2015. Ia menelan belanja sebanyak RM1.55 bilion. Apabila siap kelak dan mula beroperasi, ia dijangka mampu dimanfaatkan oleh lebih 140,000 pengguna jalan raya setiap hari.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.