Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, memaklumkan bahawa Kerajaan mengambil maklum akan kekangan yang dihadapi oleh pengusaha industri pengecas (Charge Point Operator – CPO) untuk memasang pengecas kenderaan elektrik (EV) di kawasan perumahan strata seperti pangsapuri dan apartmen. Ia bertujuan bagi merancakkan lagi penggunaan EV dalam negara, kekangan ini perlu ditangani.
Katanya, susulan daripada beberapa perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk Suruhanjaya Tenaga dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah bersetuju memberi kelonggaran kepada CPO untuk memudahcara pemasangan pengecas EV bagi kegunaan awam termasuk di kawasan perumahan strata.
“Di samping itu, Garis Panduan Perancangan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (GPP EVCB) yang dibangunkan oleh PLANMalaysia pada Oktober 2023 juga mewajibkan pemaju menyediakan 2% daripada jumlah keseluruhan tempat letak kenderaan bagi setiap projek pembangunan baharu dengan pengecas EV.
“Memandangkan pemasangan pengecas EV turut melibatkan kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC) Bilangan 2/2024 yang diadakan pada 10 Mei 2024 telah meminta PLANMalaysia untuk menyelaraskan penggunaan GPP EVCB di peringkat PBT yang terlibat. Langkah ini dijangka akan mempercepatkan pemasangan pengecas EV pada masa hadapan,”katanya menerusi jawapan bertulis bagi persidangan Dewan Rakyat di Parlimen minggu lalu.
Ia adalah bagi menjawab soalan dari Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang meminta Menteri MITI menerangkan strategi Kerajaan dalam menggalakkan pemasangan port pengecasan EV di kawasan perumahan strata seperti pangsapuri.
Mohd Shahar juga mengemukakan soalan mengenai inisiatif pihak Kerajaan untuk menyokong pembangunan dan kemampuan infrastruktur kitar semula bateri EV yang memerlukan kos yang tinggi.
Tengku Zafrul menjawab, “Aktiviti kitar semula bateri EV melibatkan proses pre-treatment yang menghasilkan Metal Oxide powder (dikenali sebagai black powder) dan proses hidrometalurgi untuk mengekstrak bahan berharga seperti litium karbonat dan mendakan hidroksida campuran (MHP) daripada black powder. Dalam aktiviti kitar semula ini, kos yang tinggi adalah untuk pembinaan loji hidrometalurgi.
“Sehingga kini, terdapat tiga syarikat telah mendapat lesen kitar semula bateri EV daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), di mana ketiga- tiga syarikat tersebut telah menjalankan proses pre-treatment bateri EV, dan black powder yang dihasilkan kemudian dieksport ke luar negara untuk proses hidrometalurgi selanjutnya. Walau bagaimanapun, baru- baru ini terdapat satu syarikat telah mula melabur untuk membina loji hidrometalurgi dalam negara,” katanya,
Tambahnya lagi, buat masa ini, selain daripada Skim Pembiayaan Perniagaan Mobiliti Lestari (Sustainable Mobility Biz Financing – SMBF) yang ditawarkan oleh MIDF di bawah Rancangan Malaysia ke-12 bagi membantu pembangunan ekosistem EV termasuk aktiviti-aktiviti perkhidmatan selepas jualan, syarikat yang terlibat dalam aktiviti kitar semula bateri EV turut berpeluang mengakses skim pembiayaan di bawah Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF) dan Kemudahan Teknologi Tinggi dan Hijau (HTG) yang disediakan oleh Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM).
“Sehubungan itu, bagi menggalakkan lebih banyak aktiviti bernilai tinggi berlaku dalam negara dan mengurangkan eksport black powder ke luar negara untuk proses hidrometalurgi, Kerajaan akan membuat kajian ke atas perkara ini dan mengusulkan inisiatif yang bersesuaian bagi menggalakkan pelabur asing dan tempatan untuk menyediakan kemudahan loji hidrometalurgi dalam negara bagi kelestarian pembangunan industri EV,”jelasnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.