Lotus Emeya telah dilihat di Malaysia oleh beberapa ahli Facebook paultan.org Automotive/Car Discussion Group, sekaligus mencadangkan tarikh pelancarannya di sini semakin hampir — mungkin dalam bulan ini; ia pernah dilaporkan akan tiba dalam suku ketiga 2024.
Model EV ketiga jenama Lotus itu — selepas Evija dan Eletre — membuat penampilan sulungnya September tahun lalu dan kini mula dibuka untuk tempahan. Bagaimanapun, masih belum ada pengesahan tentang harganya, namum kami dimaklumkan bulan lalu yang Lotus merancang untuk meletakkan harga Emeya lebih rendah daripada Eletre di pasaran utama Asian, termasuk Malaysia.
Dengan harga Eletre ketika kini ialah RM698k untuk spesifikasi pertengahan S, harga untuk varian paling asas Emeya boleh jadi akan berada di antara julat RM600k-RM650k. Ini juga merupakan julat harga bagi model seperti Porsche Taycan yang dijual dengan harga bermula RM575k, dan kurang daripada model sedan mewah BMW i7 (dari RM707k) dan Mercedes EQS (dari RM649k). Serahan Lotus Emeya dijangka mula dilakukan pada suku keempat tahun ini.
Varian permulaan bagi Emeya berkongsi sistem janaan kuasa yang sama dengan Emeya S serta Eletre dan Eletre S, dengan dua motor yang menghasilkan 612 PS (603 hp atau 450 kW), dengan pecutan 0-100 km/j bawah lima saat. Spesifikasi Emeya R yang lebih tinggi pula hadir dengan janaan kuasa 918 PS (905 hp atau 675 kW), dengan pecutan 0-100 km/j dalam 2.78 saat. Semua variannya menggunakan bateri 102 kWh yang memberikan jarak sehingga 610 km bergantung kepada varian.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.