Dalam taklimat prestasi jualan kenderaan di Malaysia bagi tempoh separuh pertama tahun 2024 hari ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) turut mendedahkan yang jualan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia melonjak naik sebanyak 112% melibatkan 6,617 unit daripada 3,117 unit yang direkodkan dalam tempoh sama 2023.
Dengan ini, penggunaan EV di Malaysia menunjukkan corak peningkatan saban tahun: pada tahun 2023, sebanyak 10,159 unit EV terjual, manakala pada 2022 dan 2021 angka itu lebih rendah dengan masing-masing mencatatkan 2,631 dan 278 unit.
Insentif EV oleh kerajaan yang sedang berjalan ketika ini sudah tentu menjadi antara pemacu jualannya. Ketika ini, EV CBU menikmati pengecualian duti import dan duti eksais sehingga 31 Disember 2025, sementara unit CKD pula dikecualikan daripada cukai dan eksais jualan sehingga 31 Disember 2027.
Daripada data MAA, terdapat sejumlah 15,884 kenderaan hibrid terjual bagi tempoh separuh pertama 2024. Digabungkan dengan jualan EV, keseluruhan jualan kenderaan dengan elektrifikasi (xEV — termasuk hibrid, plug-in hybrid dan EV) yang terjual ialah 22,501 unit. Tahun lalu, keseluruhan EV yang terjual ialah 38,214 unit, naik berbanding 2022 (22,619 unit) dan 2021 (8,153 unit).
Berbaki separuh tahun lagi untuk 2024, jualan keseluruhan tahun ini dijangka akan terus meningkat berbanding 2023. Bagaimanapun, semua angka jualan EV bagi 1H 2024 ini tidak termasuk jualan dari jenama Tesla di Malaysia, kerana syarikat itu bukan ahli MAA, setakat ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.