Prosedur operasi standard (SOP) dalam pembinaan projek lebuhraya sedia untuk ditambahbaik bagi mengelakkan kemalangan termasuk mengakibatkan insiden maut, kata Menteri Kerja Rara (KKR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Jelas beliau, penambahbaikan itu bagi memastikan SOP ditetapkan benar-benar memberi impak dalam mengelakkan kesan buruk kepada proses pelaksanaan mana-mana projek, laporan Berita Harian.
“SOP ini memang sudah ditetapkan tetapi kita sentiasa melihat sekiranya ada ruang dan peluang untuk ditambahbaik… ia tidak jadi masalah. Kita berusaha untuk menyesuaikan SOP dan mahu menggunakan cara terbaik kerana ia bersifat dinamik dan bukannya statik,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) yang mahu tahu sama ada kerajaan bercadang untuk memperkemaskan SOP membabitkan projek pembinaan lebuhraya berhampiran laluan awam.
Halimah juga ingin tahu sama ada kerajaan boleh mendedahkan laporan siasatan berhubung insiden maut dalam projek pembinaan lebuh raya supaya aspek tertentu boleh dipelajari kontraktor lain
Alexander berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mendedahkan kajian terbabit bagi makluman orang awam, sekiranya kemalangan berlaku dalam skala besar hingga meragut nyawa.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.