Pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) tahun ini menyaksikan Hyundai melancarkan Kona Electric generasi kedua, yang dipasang di dalam negara itu. Operasi CKD untuk model ini juga agak luas, dengan termasuk bateri yang digunakan, dan menjadikan Kona Electric sebagai model elektrik pertama Hyundai yang menggunakan bateri keluaran Indonesia.
Awal bulan ini, Hyundai Motor Group mengumumkan kerjasama dengan LG Energy Solutions untuk pengeluaran sel bateri EV di Indonesia. Syarikat kerjasama dua pihak ini dipanggil sebagai PT Hyundai LG Indonesia (HLI) Green Power, dengan kilang pengeluaran sel bateri di Karawang, dan kemudiannya ia dihantar ke kilang PT Hyundai Energy Indonesia untuk dijadikan bateri, dengan kapasiti 50,000 unit setahun.
Dua kilang ini melengkapi kilang PT Hyundai Motor Manufacturing Indonesia (HMMI) sedia ada yang kini memasang Ioniq 5 dan Kona Electric. Kilang ini dikatakan akan meningkatkan kapasiti pengeluarannya kepada 70,000 unit menjelang akhir tahun, dan kemudiannya akan bertambah kepada 150,000 unit setahun selepas itu.
Melihat kepada Kona Electric itu sendiri, ia dijual pada harga bermula 499 juta rupiah (RM145k) untuk varian Style Standard Range dan diikuti Prime Standard Range (515 juta rupiah atau RM149k), Prime Long Range (560 juta rupiah atau RM162k), Signature Standard Range (575 juta rupiah atau RM167k) dan Signature Long Range (575 juta rupiah atau RM171k).
Berkenaan spesifikasi, semua varian Kona Electric datang dengan motor elektrik hadapan yang menghasilkan tork puncak 255 Nm. Bezanya adalah pada kuasa maksimum, di mana varian Standard Range menghasilkan 156 PS (154 hp atau 114.6 kW) manakala Long Range berkemampuan 217 PS (214 hp atau 160 kW).
Kemudiannya, varian Standard Range didatangkan dengan bateri lithium ion 48.9 kWh dengan jarak gerak NEDC 448 km, manakala Long Range mendapat bateri berkapasiti lebih tinggi, iaitu 66 kWh untuk jarak gerak sehingga 602 km bagi Prime Long Range dan 549 km untuk Signature Long Range.
Secara standard, Kona Electric datang dengan sistem pendingin bateri, navigasi dengan fungsi tanda tempat penting (menunjukkan lokasi stesen pengecas), DRL, enam beg udara, ABS, Brake Assist, Hill Start Assist, brek parkir elektronik, skrin sesentuh 12.3 inci, panel instrumen digital 12.3 inci, pemula enjin kawalan jarak jauh, telematik Bluelink serta pengawal suhu dua zon.
Untuk sistem bantuan pemandu, varian Style tidak mendapat sebarang fungsi ADAS, seperti Prime yang dilengkapi Autonomous Emergency Braking (dengan Junction Assist), Lane Following and Keeping Assist, Driver Attention Warning dan Active Cruise Control dengan stop and go.
Varian Signature pula kemudiannya ditambah dengan sistem seperti Blind Spot Monitoring dengan Collision Avoidance Assist, Larking Collision-avoidance Assist apabila mengundur, pandangan kamera keliling kenderaan dan Rear Cross Traffic Alert dengan Avoidance Assist. Varian paling tinggi ditambah lagi dengan kelengkapan termasuk sistem bunyi Bose, pad pengecas tanpa wayar, bumbung kaca, pintu but pintar, fungsi vehicle-to-load (V2L) serta rim 19 inci.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.