Bermula 1 Ogos nanti, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mula melaksanakan inisiatif e-invois dan ini dijangka memberi impak kepada pembelian kenderaan baru kerana ia dapat menghapuskan amalan pinjaman 100% (atau pinjaman penuh) yang sudah menjadi kebiasaan dalam industri. Walaupun begitu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) tidak menjangkakan banyak kesan kepada jumlah jualan akibat langkah ini.
Semasa satu sesi soal jawab bersama media semalam, Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain memberitahu bahawa ini disebabkan Bank Negara telah menetapkan jumlah bayaran pendahuluan minimum, yang perlu dipatuhi oleh syarikat kereta dan juga bank.
Tambah beliau, untuk berhadapan keadaan ini, banyak institusi kewangan memperkenalkan pilihan pembiayaan yang lebih fleksibel, seperti step-up financing (bayaran rendah untuk tempoh awal dan seterusnya menaik), untuk menjadikan pembelian kenderaan lebih mampu milik tanpa perlu mengambil pinjaman penuh. “Saya percaya, apabila sudah dilaksana (e-invois), akan ada program dan pakej yang diperkenalkan oleh bank,” kata Shamsor.
Beliau turut menambah bahawa nampaknya masih ada bank yang menawarkan pinjaman penuh kepada penjawat awam dan MAA memandang skim e-invois ini satu langkah yang baik. “Kami rasa, pelaksanaan e-invois ini akan membawa perubahan positif kepada kecekapan dan ketelusan,” kata Shamsor.
Walaupun terdapat potensi gangguan ini, MAA nampaknya bukan setakat mampu untuk mengekalkan sasaran jualan asal 740,000 buah kenderaan, tetapi malah meningkatkan lagi kepada 765,000 bagi tahun 2024. Ini dibuat selepas ia berjaya mencatat jualan separuh tahun pertama yang kuat, sebanyak 390,296 unit, yang bersamaan peningkatan 6.6% berbanding tempoh sama tahun lepas.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.