Royal Enfield Guerilla 450 didedah – roadster guna asas Himalayan 450, enjin 452 cc 40 PS, dari RM13k

Royal Enfield Guerilla 450 didedah – roadster guna asas Himalayan 450, enjin 452 cc 40 PS, dari RM13k

Royal Enfield secara rasminya telah memperkenalkan sebuah lagi model 450 baru dipanggil sebagai Guerilla 450. Ia sebenarnya menggunakan asas yang sama seperti model touring/adventure Himalayan 450, tetapi diubah dengan penampilan serta kelengkapan yang lebih bersesuaian sebagai sebuah roadster dengan inspirasi scrambler.

Seperti yang boleh dilihat, semua panel badan Guerilla 450 ini adalah lain berbanding Himalayan 450, termasuk tangki bahan api, tempat duduk dan pemegang, sementara rim pula menggunakan unit 17 inci yang dibalut tayar tanpa tiub 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang.

Perkakasan suspensi masih lagi sama, terdiri daripada fork teleskopik 43 mm dan monoshock dengan linkage, daripada Showa, tetapi jarak geraknya adalah lebih pendek pada Guerilla 450, menjadi 140 mm di hadapan dan 150 mm di belakang (Himalayan 450 200 mm hadapan dan belakang). Hasil daripada tetapan ini, tempat duduk Guerilla 450 juga menjadi lebih rendah iaitu 780 mm berbanding 825 mm pada Himalayan 450.

Royal Enfield Guerilla 450 didedah – roadster guna asas Himalayan 450, enjin 452 cc 40 PS, dari RM13k

Sebagai sebuah motosikal yang lebih bersesuaian dengan penggunaan atas jalan biasa dan bandar, Guerilla 450 mempunyai tangki bahan api yang lebih kecil, berkapasiti 11 liter (17 liter pada Himalayan 450), dan beratnya keseluruhannya adalah 185 kg (196 kg bagi Himalayan 450).

Bahagian lain kebanyakannya adalah sama, termasuk pakej enjin dan kuasa, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api 452 cc DOHC penyejukan cecair bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan 40 PS pada 8,000 rpm dan tork 40 Nm pada 5,500 rpm.

Untuk mengawal penyampaian kuasa ini, penunggang disediakan dengan dua mod iaitu Eco dan Performance, dengan penukaran boleh dilakukan dengan satu butang di bahagian kanan pemegang.

Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan unit cakera, dengan masing-masing bersaiz 310 mm dengan angkup dua piston dan 270 mm dengan angkup satu piston, lengkap bersama sistem ABS dual-channel secara standard (boleh ditutup menggunakan suis).

Bergantung kepada varian, Guerilla 450 boleh datang dengan panel meter analog, iaitu untuk varian permulaan, ditambah dengan skrin TFT bulat kecil yang dipanggil Tripper untuk varian pertengahan dan meter TFT penuh empat inci Tripper Dash yang boleh disambung kepada telefon pintar untuk memaparkan pelbagai fungsi termasuk navigasi penuh bagi varian paling tinggi.

Tempahan untuk Guerilla 450 sudah mula dibuka di beberapa negara, dengan di India, ia bermula dari 239,000 rupee (RM13,343) hingga 254,000 rupee (RM14,180). Jika varian paling tinggi Guerilla 450 dan Himalayan 450 dibandingkan, harga Guerilla 450 adalah lebih murah 44,000 rupee (sekitar RM2.5k).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required