EVx 2024: Dekati dan beli smart #3, nikmati hadiah percuma — potongan hingga RM30k untuk #1 Brabus

EVx 2024: Dekati dan beli smart #3, nikmati hadiah percuma — potongan hingga RM30k untuk #1 Brabus

Hujung minggu ini, pada 20-21 Julai 2024 (9 pagi-7 malam setiap hari) akan berlangsung Ekspo Kenderaan Elektrik (EVx) anjuran paultan.org bertempat di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Di taja bersama oleh Carro, Gentari, RHB dan JuiceUp, EVx 2024 bakal menghimpunkan pelbagai aspek berkaitan teknologi kenderaan elektrik daripada pelbagai jenama di bawah satu bumbung.

Satu daripadanya termasuklah smart yang akan diwakili oleh Hap Seng. Kedua-dua model #1 dan #3 akan dipamerkan untuk membolehkan anda mendekati model berkenaan. #3 baru sahaja dilancarkan pada 10 Julai lalu.

Untuk pasaran tempatan, SUV coupe elektrik ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu model asas Pro berharga RM175,000, RM215,000 untuk Premium dan versi paling lengkap, Brabus pula dengan harga RM255,000. Semuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

Varian Pro dan Premium merupakan versi pacuan roda-belakang (RWD) dengan dilengkapi motor elektrik tunggal 272 PS (268 hp atau 200 kW), manakala versi Brabus dibekalkan dengan dua motor elektrik membolehkan ia memacu semua roda, dengan janaan kuasa penuh 428 PS (422 hp atau 315 kW) dan tork 543 Nm.

Untuk varian Pro dan Premium, ia boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.8 saat dan kelajuan maksimum yang boleh dicapai cecah 180 km/j. Manakala bagi varian Brabus pula, pastinya ia lebih padu dengan mod Rocket Launch, hanya 3.7 saat bagi pecutan 0-100 km/j.

EVx 2024: Dekati dan beli smart #3, nikmati hadiah percuma — potongan hingga RM30k untuk #1 Brabus

Varian Pro menggunakan bateri Lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 49 kWh dan ia boleh memberikan jarak hingga 325 km dengan satu pengecasan tunggal. Manakala varian Premium dan Brabus dibekalkan bateri yang sama dengan kapasiti lebih besar 66 kWh — Premium mampu mencapai jarak gerak hingga 455 km tetapi Brabus hanya sekitar 415 km dengan satu pengecasan.

Bagi pengecasannya, #3 boleh dicas menggunakan pengecas AC berkapasiti 22 kW dengan status pengecasan 10%-80% boleh dicapai dalam kurang dari tiga jam. Namun jika menggunakan pengecas pantas DC, Pro mampu menampung 130 kW sementara Premium dan Brabus pula dengan 150 kW, ia boleh mencapai status pengecasan 10%-80% di bawah 30 minit.

Pembelian #3 di EVx 2024 akan membolehkan anda menerima pakej pelancaran eksklusif serta beberapa barang percuma seperti pengecas rumah smartCharge bernilai RM3,200 dengan jaminan dua-tahun, pakej aksesori enam barangan bernilai RM2,500, adapter vehicle-to-load (V2L) bernilai RM800 dengan jaminan dua-tahun serta pelan data internet lima-tahun/60 GB.

Model ini juga diberikan jaminan empat-tahun/tanpa had perbatuan, jaminan dua-tahun/tanpa had perbatuan untuk alat ganti, jaminan lapan-tahun/200,000 km untuk bateri, jaminan lapan-tahun/150,000 km untuk komponen voltan tinggi serta bantuan tepi jalan 24/7.

smart #1 juga tidak ketinggalan diberikan promosi khas, dengan varian Brabus-nya diberikan potongan sehingga RM30,000. Membuat tempahan kereta baru ketika acara ini juga akan membolehkan anda untuk menerima baucar bernilai RM1,500 secara percuma — RM500 bagi setial jenama dari V-Kool, Dodomat dan DK Schweizer; namun ini hanya terhad bagi 100 tempahan EV terawal sahaja.

EVx 2024: Dekati dan beli smart #3, nikmati hadiah percuma — potongan hingga RM30k untuk #1 Brabus

Untuk kenderaan baru, terdapat banyak lagi jenama kenderaan EV yang akan ikut serta dalam EVx 2024, seperti Mercedes-Benz, BMW, MINI, smart, BYD, Hyundai, Chery, Kia, Lotus Cars dan MG. Pakar penyelesaian pengecasan Kineta serta pakar lapik kaki kenderaan Trapo juga akan ikut serta .

Anda juga berpeluang untuk mempelajari semua aspek berkaitan elektrifikasi melalui sesi perbincangan oleh pemain industri dan mengetahui pengalaman pemilikan dan penggunaan EV melalui sesi forum yang turut akan diadakan sepanjang acara berlangsung.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan pengecasan dan infrastrukturnya, EVx adalah tempat yang betul untuk mendapatkan jawapannya kerana ia akan turut disertai oleh pengendali kemudahan pengecasan serta agensi berkaitan yang lain. EVx juga ingin mendidik dan menyediakan platform bagi semua topik berkenaan, dan sekiranya anda sedang mempertimbangkan untuk beralih kepada EV, ini adalah sebuah acara yang tidak boleh dilepaskan. Jumpa di sana, 20-21 Julai 2024. Masuk adalah percuma.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required