Honda Prospect Motor (HPM) telah membawa MPV Honda StepWGN generasi ke-6 untuk dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2024 yang kini sedang berlangsung. Kami difahamkan ini bukan pratonton dan petunjuk bahawa model ini akan dilancarkan di pasaran tersebut, namun ia lebih kepada untuk mengkaji keperluan pengguna dalam pelbagai segmen di Indonesia.
Walau bagaimanapun menurut presiden pengarah HPM Shugo Watanabe, ini bukan bermakna tidak ada kemungkinan MPV ini akan dilancarkan di negara tersebut. Ini kerana Odyssey sudah tidak lagi dijual di Indonesia, dan StepWGN mempunyai potensi untuk berhadapan terus dengan Nissan Serena dan Toyota Noah/Voxy.
Unit yang dipamerkan ini menerupakan StepWGN dalam varian Spada e:HEV, iaitu model dengan unit rangkaian kuasa hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang sama seperti dipadankan pada Honda Civic dan CR-V e:HEV yang sudahpun ada dalam pasaran Malaysia.
Sistem berkenaan menampilkan enjin 2.0 liter empat-silinder kitaran Atkinson berkuasa 145 PS dan tork maksima 175 Nm yang secara primari berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri hibrid. Manakala roda hadapan digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 185 PS dan tork 315 Nm. Namun dalam situasi tertentu contohnya dalam kelajuan tinggi, enjin turut akan membantu motor elektrik untuk memacu tayar menerusi klac lock-up bagi memberikan kadar efisien lebih baik.
StegWGN generasi keenam ini tampil dengan rupa lebih ringkas berbanding model generasi kelima. Namun ia kini tidak lagi menampilkan rekaan pintu tailgate belakang “Wake-waku Gate” yang begitu praktikal pada model generasi sebelumnya, dan ia hanya diberikan pintu tailgate biasa.
Namun ia masih lagi menawarkan kabin dan susunan tempat duduk yang praktikal, contohnya tempat duduk baris kedua yang boleh digerakkan ke kiri dan ke kanan dan juga ke hadapan dan ke belakang, manakala tempat duduk baris ketiga boleh dilipat masuk ke lantai bagi memberikan ruang but lebih luas dengan lantai rata.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.