Mitsubishi Triton 2024 di Indonesia – enam varian, enjin diesel 2.4L VGT 184 PS/430 Nm, dari RM87k

Mitsubishi Triton 2024 di Indonesia – enam varian, enjin diesel 2.4L VGT 184 PS/430 Nm, dari RM87k

Selepas satu tahun Mitsubishi Triton generasi ketiga diperkenalkan buat kali pertama kepada dunia di Thailand, ia kini memasuki pula pasaran Indonesia dengan kesemuanya ada enam varian termasuk pilihan badan double-cab dan single-cab.

Untuk makluman, Triton terbaru ini juga akan dijual di Jepun, sekaligus menandakan kemunculan kembali model trak pikap tersebut di sana selepas 12 tahun. Berikut adalah pecahan varian dan harga Triton 2024 di Indonesia:

  • Double Cab Ultimate 4×4 AT – IDR525,600,000 (RM151,838)
  • Double Cab Exceed 4×4 MT – IDR491,850,000 (RM142,088)
  • Double Cab GLS 4×4 MT – IDR447,900,000 (RM129,388)
  • Double Cab HDX 4×4 MT – IDR426,650,000 (RM123,250)
  • Single Cab HDX 4×4 MT – IDR377,150,000 (RM108,946)
  • Single Cab GLX 4×2 MT – IDR301,350,000 (RM87,050)

Di sebalik kulit badan Triton ini terdapat rekaan casis ladder frame yang kini mempunyai 65% lebih banyak kawasan cross-sectional berbanding model lama, serta mencapai tahap bending rigidity 40% dan torsional rigidity 60%. Badannya juga lebih ringan dengan penggunaan bahan logam high-tensile 1180 Mpa. Suspensi masih lagi menggunakan double wishbone di hadapan dan spring dedaun di belakang, dengan jarak gerak 20 mm lebih panjang bagi versi 4WD dan 2WD High-Rider.

Menggerakkan Triton generasi ketiga ini adalah enjin diesel empat silinder 2.4 liter 4N16 DOHC, common rail, VGT, dan Indonesia mendapat versi pertengahan dengan jumlah kuasa 184 PS pada 3,500 rpm dan tork 430 Nm antara 1,500 rpm ke 3,000 rpm. Di negara lain, versi paling tinggi mampu menghasilkan 204 PS (150 kW) dan tork maksimum 470 Nm dari 1,500 rpm.

Pembeli boleh memilih transmisi manual atau automatik pada Triton di Indonesia, dan kedua-duanya merupakan unit enam kelajuan. Melalui sistem Super Select-II yang ada pada trak pikap ini, tujuh mod pemanduan dapat disediakan.

Untuk bahagian dalam, Triton pasaran Indonesia mendapat pemain audio dengan skrin lapan inci, kawalan pendingin hawa dua zon, pengecas telefon tanpa wayar, panel instrumen dengan paparan LCD tujuh inci, balutan kulit dan pelbagai lagi.

Semasa diperkenalkan di peringkat global, trak ini boleh datang dengan pelbagai sistem keselamatan dan bantuan pemandu, seperti Forward Collision Mitigation (Autonomous Emergency Braking), Blind Spot Warning dengan Lane Change Assist dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA) serta Adaptive Cruise Control – penambahan baru berbanding model sebelumnya. Turut disediakan adalah Active Stabilty Control, Traction Control, Hill Descent Control dan Hill Start Assist.

Untuk pasaran Malaysia, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) pernah memberitahu mereka sedang cuba untuk memperkenalkan Triton baru pada tahun ini, tetapi kita masih belum mendapat maklumat berkenaan tarikh sebenar ketibaannya.

GALERI: Mitsubishi Triton 2024 di Thailand

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required