Turut dipamerkan dalam Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2024 ialah Subaru Crosstrek baharu. Model generasi ketiga ini, sebelum ini dikenali sebagai XV, dilancarkan di sana pada tahun lalu dengan varian tunggal 2.0i-S EyeSight. Dibawa masuk dari Jepun, Subaru Crosstrek 2024 ini ditawarkan pada harga 549,500,000 rupiah (RM159,100).
Crossover ini menerima penjana kuasa yang sama seperti sebelum ini iaitu FB20 2.0 liter naturally-aspirated suntikan-terus empat-silinder, yang mampu menghamburkan 156 PS pada 6,000 rom dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm. Ia dipadankan dengan Lineartronic CVT dan Symmetrical All-wheel Drive ciptaan Subaru sendiri dengan active torque split, serta X-Mode yang sesuai digunakan untuk pemanduan off-road.
Masih dibangunkan dengan Subaru Global Platform, namun Crosstrek hadir dengan rekaan yang lebih menyerlah berbanding model sebelumnya, termasuk ditampilkan dengan lampu utama LED yang nipis bersambung dengan palang krom. Ia juga diberikan gril haksagon besar dan ada lapisan plastik hitam besar berbentuk-C pada sudut hadapan. Material yang sama juga digunakan untuk gerbang roda dan juga bampar belakang.
Lampu belakang berbentuk-C, rel bumbung yang sedikit besar dan roda aloi dua-tona gaya ala turbin 18-inci turut diberikan. Di dalamnya, Crosstrek berkongsi banyak elemen dengan WRX terkini, tetapi tanpa kemasan Alcantara, roda stereng besar dan tempat duduk sport. Konsol tengah juga berbeza, tetapi dengan ruang storan tambahan.
Dengan papan pemuka asas WRX, ciri yang diberikan termasuk skrin sesentuh potret 16-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, tetapi masih dikekalkan meter analog. Ciri standard lain termasuk tempat duduk hadapan larasan kuasa (dengan larasan bahagian lumbar untuk pemandu) dan bumbung suria.
Seperti namanya, Crosstrek menampilkan kelengkapan bantuan pemandu EyeSight, termasuk brek kecemasan autonomous, brek kecemasan, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan pemusatan lorong, reverse AEB dan pemantauan perhatian pemandu berdasarkan kamera. Sembilan beg udara diberikan, termasuk beg udara tengah dan beg udara kusyen tempat duduk.
Crosstrek telah pun bersedia dilancarkan di kebanyakan pasaran ASEAN, tetapi masih belum ada perkhabaran untuk Malaysia. Model ini juga menjadi yang pertama dibawa masuk ke pasaran sini selepas Subaru mengumumkan perberhentian aktiviti pemasangan tempatan CKD di Asia Tenggara, termasuk Malaysia. Jadi, harganya dijangka akan mencanak berbanding model semasa XV yang berharga RM149,788.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.