Demi menjadikan sambutan ulang tahunnya yang ke tujuh di Indonesia lebih bermakna, Wuling telah memperkenalkan Binguo EV keluaran khas terhad 1,000 unit. Maklumat berkenaannya adalah terhad, tetapi mengikut laporan media tempatan, model ini menggunakan asas daripada varian Premium Range, dan diberikan sentuhan istimewa seperti grafik batik, penutup rim berwarna serta pelekat khas di bahagian belakang.
Wuling turut mendedahkan bahawa pengeluaran mereka di negara itu sudah melebihi 146,000 unit dan kini terdapat rangkaian 150 pengedar di Indonesia. Berkenaan EV, Wuling memberitahu sekarang mereka menguasai 52 perkongsian pasaran, bagi separuh pertama tahun 2023, dengan jualan melebihi 2,000 unit. Sementara itu, eksport keluar dari Indonesia kini sudah mencecah 5,500 unit, kepada 14 negara.
Binguo EV dilancarkan di Indonesia Disember tahun lalu, dan menjelang 1 Januari 2024 harganya dilaraskan semula menjadi 317 juta rupiah (RM92k) untuk varian asas Long Range. Varian ini dilengkapi bateri lithium iron phosphate (LFP) 31.9 kWh, mampu memberi jarak gerak 333 km, berkemungkinan mengikut standard NEDC. Varian Long Range dengan penggerak sama tetapi senarai kelengkapan lebih tinggi dijual pada harga 326 juta rupiah (RM94k).
Varian paling tinggi adalah Premium Range, yang dijual pada harga 372 juta rupiah (RM107k) mendapat bateri LFP 37.9 kWh dan memberi jarak gerak 410 km. Semua varian menggunakan motor elektrik hadapan berkuasa 68 PS (67 hp atau 50 kW) dan tork 150 Nm.
Untuk pengecasan, Bingo EV boleh dicas menggunakan sumber AC pada kadar maksimum 3.3 km, dan memerlukan masa 9.5 jam untuk penuh. Apabila menggunakan pengecas pantas DC (kadar maksimum tidak diberitahu), bateri boleh naik dari 30 ke 80% dalam masa cuma 35 minit.
Berkenaan kelengkapan, Bingo EV datang dengan rim 15 inci, lampu utama dan lampu belakang LED, tempat duduk balutan kulit sintetik, dua skrin 10.25 inci, tempat duduk pemandu larasan kuasa, dua beg udara, ABS, EBD, brek parkir elektronik, ESC, kamera undur, sistem pemerhati tekanan angin tayar, sistem tanpa kunci, cruise control dan pendingin hawa automatik.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.