Jaecoo J7 dilancarkan di Malaysia – bermula RM139k, 1.6L Turbo AWD & 2WD, waranti 7 tahun/150,000 km

Jaecoo J7 dilancarkan di Malaysia – bermula RM139k, 1.6L Turbo AWD & 2WD, waranti 7 tahun/150,000 km

Jenama SUV subsidiari Chery, Jaecoo hari ini secara rasmi telah melancarkan model pertamanya untuk pasaran Malaysia iaitu Jaecoo J7. Model ini terus dihasilkan secara pemasangannya tempatan (CKD) menerusi kilang baharu di Shah Alam. Ia ditawarkan dalam dua varian, bermula dengan versi pacuan roda hadapan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM138,800, diikuti versi pacuan semua roda berharga RM148,800.

Jaecoo Malaysia menawarkan perlindungan waranti selama tujuh-tahun atau 150,000 km untuk setiap pembelian J7, dan ia merangkumi bantuan tepi jalan. Untuk pembeli-pembeli terawal juga, Jaecoo J7 ini juga ditawarkan dengan waranti enjin selama 10-tahun atau sejuta kilometer.

SUV yang berkongsi platform sama seperti Chery Tiggo 7 ini menampilkan saiz dengan dimensi panjang 4,500 mm, lebar 1,865 mm, tinggi 1,689 mm dan jarak roda sejauh 2,672 mm. Jadi walaupun nampak seakan sangat besar, Jaecoo J7 ini sebenarnya merupakan SUV segmen-C dan bersaiz lebih kurang sama seperti Proton X70 dengan dimensi panjang 4,519 mm, lebar 1,831 mm, tinggi 1,694 mm dan jarak roda sejauh 2,670 mm.

Kedua-dua varian menampilkan unit rangkaian kuasa yang sama iaitu dijana enjin 1.6 liter empat silinder turbo yang menghasilkan 197 PS dan tork maksima 290 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan yang dibekalkan oleh Getrag.

Jaecoo J7 dilancarkan di Malaysia – bermula RM139k, 1.6L Turbo AWD & 2WD, waranti 7 tahun/150,000 km

Ini membolehkan model AWD memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.9 saat, manakala model pacuan roda hadapan yang lebih ringan mencatatkan masa lebih pantas iaitu 9.2 saat. Kedua-dua varian ini mencapai kelajuan maksima yang sama iaitu 180 km/j.

Tidak seperti model lain dalam kelas sama yang kebanyakkannya merupakan SUV gaya hidup dalam bandar, Jaecoo J7 terutamanya dalam versi pacuan semua roda merupakan SUV yang dibekalkan dengan kebolehan meredah off-road Ala-Range Rover.

Sistem Intelligent 4WD berkenaan diberikan tujuh mod permukaan pemanduan untuk pelbagai situasi dan bentuk muka bumi termasuk Eco, Normal, Sports, Sand, Mud, Snowfield dan Off-road. Gandar belakang model AWD ini juga dengan mampu menampung beban sehingga 3,000 Nm. Model pacuan hadapan pula hanya diberikan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sports.

Jaecoo J7 ini juga dihasilkan dengan jarak kelegaan tanah setinggi 200 mm, membolehkan ia meredah air dengan kedalaman 600 mm, serta mempunyai sudut approach dan sudut berlepas masing-masing 21- dan 29-darjah.

Jaecoo J7 dilancarkan di Malaysia – bermula RM139k, 1.6L Turbo AWD & 2WD, waranti 7 tahun/150,000 km

Kedua-dua varian ini hanya dibezakan dari sistem pacuan sahaja, manakala perincian lain adalah sama sepenuhnya. Pada sebelah luar Jaecoo J7 pasaran Malaysia ini menerima lampu hadapan LED automatik, lampu nyalaan siang dan lampu belakang LED, lampu selamat datang, spoiler bumbung belakang, rel bumbung dan juga set rim aloi 19-inci Aurora Design.

Manakala sebelah dalam, J7 diberikan papan pemuka yang direka ringkas dengan menampilkan liang penghembus udara merentangi sepenuhnya bersama liang sisi menegak, skrin tengah 14.8-inci untuk sistem infotainmen yang di letak secara menegak, serta skrin paparan instrumen digital LCD 10.25-inci tanpa perumah untuk pemandu bersama paparan head-up. Walau bagaimanapun, kami diberitahu bahawa selepas ini model 2WD akan diberikan dengan skrin infotainmen lebih kecil, namun bila ia akan diubah masih belum diketahui.

Sistem infotaimen tersebut diberikan sistem navigasi bina dalam bersama fungsi arahan suara, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, serta dihubungkan kepada sistem bunyi Sony dengan lapan pembesar suara. Ia juga menerima pengecas tanpa wayar 50 watt dengan fungsi penyejuk serta satu port USB Type-C dan port USB biasa.

J7 ini diberikan upholsteri kulit sintetik, bersama tempat duduk hadapan diberikan fungsi larasan elektrik dan memori serta pemanas penderia induksi dan liang aliran udara. Tempat duduk penumpang hadapan pula diberikan mod Chauffeur, manakala tempat duduk pemandu menerima fungsi selamat datang dan larasan lumbar.

Selain itu ia juga diberikan cermin sisi dengan fungsi memori dan pemanas, sistem pendingin hawa dua zon dengan sistem penyegar Udara N95, pintu tailgate belakang bantuan kuasa, cermin privasi belakang, serta sistem kunci pintar bersama penghidup enjin kawalan jauh dengan fungsi pra-pendingin kabin.

Perincian lain yang turut diberikan termasuk cermin hadapan akustik dan cermin penebat haba, cermin pandang belakang auto-malap, lampu suasana kabin 64-warna mengikut irama, perehat tangan tengah hadapan dengan kotak penyejuk di dalamnya dan bumbung suria panaromik.

Untuk keselamatan pula, Jaecoo J7 pasaran Malaysia ini menerima dashcam hadapan, sistem pemantau pemandu, brek parkir elektronik dengan fungsi auto-hold, bantuan mendaki bukit dan menurun cerun, pengingat had laju dan sistem pemantau tekanan angin tayar.

Ia juga diberikan sistem bantuan pemanduan termaju yang meliputi fungsi kamera panaromik 540-darjah, cruise control adaptif, brek kecemasan automatik, pengesan titik buta, bantuan kelajuan selekoh, pemberitahu pergerakan kenderaan hadapan, amaran buka pintu, pengekal lorong kecemasan, Integrated Cruise Assist, sistem pengelak pintar, kawalan lampu hadapan pintar, bantuan tukar lorong, pengelak dan amaran keluar lorong, amaran pelanggaran belakang, amaran lintasan trafik belakang dan bantuan kesesakan trafik.

Empat warna badan ditawarkan untuk Kedua-dua varian iaitu Moonlight Silver, Carbon Crystal Black, Khaki White dan juga Model Green.

Jaecoo J7 AWD

Pelancaran Jaecoo J7 pasaran Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required