Volvo EX30 sudah didedahkan kepada dunia hampir satu tahun, dan nampaknya tidak lama lagi ia akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia. SUV elektrik ini telah ditemui oleh pembaca kami, Fong QL, sewaktu ia sedang diangkut atas treler berhadapan balai polis Klang Selatan, hanya beberapa kilometer dari Pelabuhan Klang.
Melihat kepada arah tujunya, kereta-kereta ini nampak seperti akan dieskport, mungkin ke Indonesia kerana ia baru sahaja dilancarkan di sana minggu lalu. Dalam pada itu, ia juga boleh diambil sebagai petunjuk bahawa model tersebut sudah mula dipasang di kilang Volvo di Shah Alam – pelancaran untuk pasaran Malaysia juga dijangka berlaku tidak lama lagi.
Tahun lepas, pengarah urusan Volvo Car Malaysia (VCM), Charles Frump telah memberitahu bahawa EX30 akan tiba sebelum EX90, memberi petunjuk kepada pelancaran tahun 2024. Penemuan model tersebut seperti dalam gambar menguatkan lagi kenyataan tersebut.
Buat masa ini kita masih tidak tahu spesifikasi model pasaran Malaysia, tapi di Indonesia, SUV tersebut ditawarkan dalam varian Plus dengan satu motor dan Extended Range, dengan harga masing-masing 890,000,000 rupiah (RM256,900) dan 1,160,000,000 rupiah (RM334,900).
Kedua-dua varian ini menyediakan kuasa 272 PS (200 kW) dan tork 343 Nm pada roda belakang, tetapi bezanya adalah pada saiz bateri. Model permulaan mendapat bateri lithium iron phosphate (LFP) 51 kWh yang mampu memberi jarak gerak WLTP 344 km, manakala model Extended Range menggunakan bateri nickel manganese cobalt (NMC) 69 kWh yang mampu memberikan jarak gerak sehingga 479 km dengan sekali cas penuh.
Berkenaan pengecasan, EX30 biasa boleh menerima sumber pengecas DC sehingga 150 kW, yang akan mengambil masa 26 minit untuk menaikkan bateri dari 10 ke 80%, sementara Extended Range boleh menerima sumber sama sehingga 175 kWh. Walaubagaimanapun, dengan saiz bateri yang lebih besar, masa yang diperlukan adalah sedikit lebih iaitu 28 minit.
Antara kelengkapan yang diberi pada EX30 standard adalah termasuk lampu utama LED dengan lampu tinggi aktif, rim 18 inci, sistem tanpa kunci, pengawal pendingin hawa dua zon, tempat duduk hadapan larasan kuasa, skrin infotainmen sesentuh 12.3 inci, pengecas tanpa wayar Qi, sistem audio Harman Kardon dengan sembilan pembesar suara, pintu but bukaan kuasa serta kamera undur. Model Extended Range pula menerima rim 19 inci, bumbung panoramik serta kamera 360 darjah.
Pada bahagian keselamatan, model pasaran Indonesia datang secara terus dengan tujuh beg udara, Autonomous Emergency Braking, Driver Attention Monitor, Blind Spot Monitoring, amaran buka pintu dan sistem pemanduan autonomous Level 2 Pilot Assist yang termasuk Adaptive Cruise Control dengan stop and go dan Lane Centring Assist.
Sudah tentu, spesifikasi model pasaran Malaysia boleh jadi berbeza, dan ada juga kemungkinan VCM akan memperkenalkan varian paling berkuasa iaitu Dual-Motor Extended Range yang mampu menghasilkan 428 PS (315 kW) dan 543 Nm, 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat dan jarak gerak kurang sedikit daripada 460 km dengan menggunakan bateri NMC 69 kWh.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.