Honda Malaysia umumkan yang syarikat itu telah menyerahkan Honda Civic yang ke-170,000 dan HR-V ke-150,000 di Malaysia sejak ia diperkenalkan pada 2000. Dua kereta tersebut, Civic e:HEV RS Platinum White Pearl dan HR-V e:HEV RS Meteoroid Grey masing-masing dibeli oleh Lim Chin Hui dan Asha Waheda.
Untuk meraikan pencapaian ini, Honda mengadakan majlis penyerahan di Honda Botanic Auto Mall Klang yang dihadiri oleh Lim dan wakil Asha, Achmad Khidir bin Member. Kedua-dua pemilik bertuah itu turut dihadiahkan dengan aksesori tulen Honda bernilai RM10,000.
Kedua-dua kereta itu adalah sebahagian daripada 39,226 unit kenderaan yang dijual pada separuh pertama 2024, yang mencatatkan 16% peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu. HR-V menjadi model paling laris jualannya untuj Honda dengan menyumbang 28% daripada angka berkenaan. Tidak hairanlah Honda menjual SUV segmen B berkenaan sebanyak itu walaupun diperkenalkan lebih lewat (diperkenalkan pada 2015) berbanding Civic.
Honda Malaysia juga memaklumkan berlaku peningkatan dalam permintaan bagi teknologi e:HEV, yang ditawarkan untuk City, Civic, HR-V dan CR-V; semua model hibrid ini menyumbang sebanyak 13% daripada jumlah jualan separuh pertama 2024 itu.
“Sebagai peminat Civic, model generasi ke-11 menggabungkan penampilan yang nampak sofistikated dan kekal dengan imej sporty yang sentiasa menjadi DNA Civic,” jelas Lim. “Model berkenaan mempamerkan sistem janaan hibrid canggih yang lebih praktikal untuk kegunaan harian. Saya kagum dengan prestasi dan kuasa yang disampaikannya.”
Asha menambah, “Memilih HR-V adalah keputusan mudah untuk saya, yang memang sudah terpesona dengan rekaannya. Selain rupa, HR-V juga menawarkan praktikaliti dan keselesaan terbaik untuk pemandu dan penumpang, menjadikannya model paling sesuai untuk gaya hidup saya.”
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata: “Kami ingin menzahirkan rasa terima kasih kami kepada semua pelanggan di atas sokongan dan kepercaaan yang diberikan kepada jenama kami.”
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.