Dua model Subaru yang masih belum dilancarkan di Malaysia telah ditemui oleh pembaca kami, Jason Choo, yang menghantar gambarnya seperti yang boleh anda lihat dalam muatan ini. Ia adalah Subaru Levorg STi dan Forester Turbo baru, dengan lokasinya berada betul-betul di hadapan pusat pameran Subaru Petaling Jaya, Selangor.
Levorg di dalam gambar ini dilihat mempunyai lencana STi, dan mempunyai penampilan sama seperti versi STI Sport dan STI Sport EX yang dipasarkan di Jepun. Model Levorg yang ada sekarang dipacu oleh enijn petrol empat silinder boxer 1.8 liter turbo, dengan kuasa 177 PS dan tork 300 Nm, dihantar kepada semua tayar melalui transmisi CVT.
Turut dilihat bersama Levorg STi ini adalah Forester Turbo, yang juga menggunakan enjin petrol empat silinder boxer 1.8 liter turbo, menghasilkan 177 PS dari 5,200 ke 6,000 rpm dan 300 Nm dari 1,600 ke 3,600 rpm.
Kita boleh mengenali model ini adalah Forester Turbo, dan bukannya versi NA seperti Forester yang lain dengan melihat kepada bahagian rim serta ekzos yang mempunyai dua muncung (sama seperti Levorg STi). Juga sama seperti Levorg STi, Forester Turbo ini juga menggunakan transmisi CVT dan kuasa disampaikan ke semua tayar.
Ketibaan model Forester turbo ini sudah tentu memberikan pilihan yang lebih berprestasi kepada pelanggan, berbanding model sedia ada yang cuma menggunakan enjin NA empat silinder 2.0 liter boxer berkuasa 156 PS dan 196 Nm. Harga model turbo ini juga dijangka lebih tinggi, berbanding model NA yang dijual antara RM164k ke RM186k.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.