Makluman buat penduduk sekitar Bandar Sunway atau pun yang mahu ke sana pada hujung minggu ini. Dimaklumkan bahawa terdapat beberapa jalan yang akan ditutup pada 27 hingga 28 Julai (Sabtu-Ahad ini) demi kelancaran acara larian Sunway Rapid Good Run 2024.
Di mana ia membabitkan Jalan Lagoon Selatan (di hadapan Sunway Geo) yang akan ditutup pada jam 9 malam esok (27 Julai) hingga jam 12 tengahari pada 28 Julai. Namun jalan bertentangannya pula akan dibuka secara aliran kontra. Manakala pada Ahad pula, jalan terbabit juga akan ditutup sepenuhnya dari Sunway Geo hingga ke lampu isyarat Monash University dari jam 12 tengahmalam hingga 12 tengahari.
Begitu juga dengan Jalan Lagoon Timur (PJS 9/1) yang akan ditutup sepenuhnya pada Ahad ini, iaitu dari Sunway Pyramid hingga ke Lebuhraya NPE, dari jam 4 pagi hingga 7.30 pagi.
Jalan lain yang terlibat dengan penutupan separa pula ialah Persiaran Lagoon dan Jalan PJS 11/15, dari 12 tengahmalam hingga 12 tengahari. Begitu juga dengan Jalan PJS 11/7, Jalan PJS 11/9, Jalan Tasik Selatan dan Persiaran Tasik Barat yang akan ditutup dari jam 4 pagi hingga 10 pagi.
Untuk peserta Sunway Rapid Good Run 2024 yang memandu sendiri ke lokasi acara, anda boleh meletakkan kenderaan anda sama ada di Kompleks BRT Sunway atau pun Sunway University.
Rapid Bus Sdn Bhd selaku pengendali bas BRT laluan Sunway turut memaklumkan perkhidmatan bas terbabit akan beroperasi dari aras jalan raya pada Ahad ini, dari jam 6 pagi hingga 11 pagi. Ini bermakna bas BRT akan bergerak di bawah trek bertingkat, dan berhenti di bawah stesen BRT kecuali di empat stesen, yang akan mempunyai lokasi alternatif untuk mengambil/menurunkan penumpang. Stesen berkenaan ialah USJ 7, South Quay, Mentari, Sunway Lagoon dan Sunway Setia Jaya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.